MOSCOW – Sebuah pesawat pemintas, MiG-31, terhempas di barat Siberia. Kedua-dua juruterbangnya berjaya menyelamatkan diri, menurut Kementerian Pertahanan Rusia sambil menambah nyawa mereka tidak terancam.
Kemalangan berlaku ketika pesawat tersebut melakukan penerbangan latihan di Lapangan Terbang Telemba. Sebuah helikopter digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat, lapor RT.
“Pesawat itu terhempas di kawasan terpencil. Kedua-dua juruterbang berjaya keluar. Juruterbang pulih dengan segera, tiada ancaman terhadap nyawa mereka,” kata Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan yang dipetik agensi RIA Novosti.
Pesawat pemintas supersonik Tentera Udara Rusia, MiG-31 merupakan pesawat terpantas dunia yang beroperasi hari ini.
Pesawat tersebut berkeupayaan terbang pada ketinggian 30,000 meter, malah ia mampu menembak satelit yang berada pada orbit rendah selain boleh memintas sasaran yang terbang pada kelajuan sehingga lima kali ganda kelajuan bunyi, lapor RT. – Agensi