Home Seni Hidup Coldplay kempen alam sekitar melalui konsert jelajah

Coldplay kempen alam sekitar melalui konsert jelajah

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock Coldplay  bakal mengadakan konsert jelajah dalam usaha menyokong memelihara alam sekitar.

Vokalisnya Chris Martin berkata,  konsert untuk mempromosikan album baharu berjudul Everyday Life, bakal memberi manfaat terhadap usaha memupuk kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar kepada orang ramai.

“Impian kami adalah untuk mengadakan persembahan tanpa plastik sekali guna dan menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga,” katanya.

Kali terakhir Coldplay melakukan siri jelajah pada 2017 dengan album A Head Full of Dreams, dengan merentasi empat benua dengan 122 persembahan.

Dalam pada itu, Ketua Perubahan Iklim di Tabung Hidupan Liar (WWF), Gareth Redmond-King turut menyambut baik keputusan dibuat band popular itu untuk memberi kesedaran tentang alam sekitar tatkala dunia mengalami krisis iklim.

“Sangat menakjubkan untuk melihat artis terkenal di dunia seperti mereka mengambil langkah untuk melindungi planet ini.

“Kita semua ada tanggungjawab untuk menjadi contoh dalam menghadapi krisis iklim ketika ini. Ia bukan satu pilihan kerana kita melindungi bumi untuk generasi akan datang,” katanya. -MalaysiaGazette