Home Politik Presiden, setiausaha tidak boleh batal tindakan pecat ahli – Saifuddin

Presiden, setiausaha tidak boleh batal tindakan pecat ahli – Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Presiden dan Setiausaha Agung PKR tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan yang  dibuat  pimpinan parti terutama dalam soal pemecatan ahli-ahlinya.

Beliau berkata, tidak ada tertulis di dalam Perlembagaan parti bahawa presiden atau setiausaha agung boleh menarik balik pemecatan keahlian.

“Fasal mana dalam perlembagaan yang presiden, setiausaha agung boleh tarik balik pemecatan (keahlian)?,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim yang menyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Saifuddin Nasution selaku Setiausaha Agung, boleh membuat keputusan sama ada perlu menarik balik atau mengekalkan tindakan parti yang memecat dua ahlinya pada Sabtu lalu.

Ahli PKR yang dipecat itu adalah Zakaria Abdul Hamid, juga Ketua Cabang Bera atas dakwaan rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Turut dipecat ialah Ismail Dulhadi, bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Pemecatan mereka berkuatkuasa serta-merta selepas  Lembaga Disiplin PKR menerima bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Kasim menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan yang dibuat pucuk kepemimpinan parti terutama dalam soal pemecatan ahli.

Lembaga Disiplin juga tegasnya, hanya boleh memberikan syor kepada pucuk kepemimpinan parti bentuk hukuman atau tindakan yang boleh dikenakan terhadap ahli jika terbukti melanggar peraturan termasuk terbabit rasuah.

Lembaga Disiplin PKR menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu berhubung salah laku membabitkan dua ahli terbabit.

Sementara dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau menunggu laporan penuh dari Pengerusi Keadilan Melaka dan dari pejabat Ketua Menteri Melaka berhubung tindakan seterusnya terhadap dua ADUN di negeri itu yang tidak hadir dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Katanya, beliau ada menerima surat dari Pejabat Ketua Menteri Melaka berkenaan nama dua individu terbabit dan ia telah mendapat perhatian dari pucuk pimpinan parti.

“Setelah aduan itu dah terima dan teliti kita akan bentangkan dalam mesyuarat biro politik dalam masa terdekat untuk cadangan. Buat masa sekarang saya masih tunggu laporan di meja saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.