Home Politik Perjumpaan sulit dengan Azmin: UMNO kata ada yang bercakap tidak benar

Perjumpaan sulit dengan Azmin: UMNO kata ada yang bercakap tidak benar

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media berkenaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata ada pihak yang bercakap tidak benar mengenai intipati pertemuan sulit 17 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan Azmin tidak memberikan maklumat yang tepat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ataupun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang tidak bercakap benar.

“Ada dua kemungkinan pertama salah seorang berkata tidak benar mungkin Azmin beri laporan yang tidak benar, ataupun beliau beri laporan yang benar tapi Dr Mahathir berkata tidak benar,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Annuar berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang berkata Azmin memberitahu beliau perjumpaan itu bagi memberitahu mereka sudah ‘hilang’ parti.

Dr Mahathir berkata, perkara tersebut dimaklumkan Azmin ketika ditanya mengenai pertemuan yang mencetuskan pelbagai kontroversi itu.

Kenyataan itu, kata Annuar, bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh 12 Ahli Parlimen BN sebelum ini.

“Yang pasti kenyataan mereka telah dinafikan oleh mereka sendiri. Semua Ahli Parlimen berkenaan telah keluarkan kenyataan media secara bertulis menafikan kenyataan yang disebut oleh Perdana Menteri itu.

“Walaubagaimanapun kita tahu sesama sendiri dengan baik, saya selalu baca kenyataan Tun bukan daripada maksud sebenar tapi secara tersirat dengan apa yang dia kata. Kita lama bersama beliau, jadi kita tahu siapa dia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dakwaan bahawa kesemua 17 Ahli Parlimen BN yang berjumpa dengan Azmin itu akan bertindak keluar parti adalah tidak munasabah.

Jelas Annuar lagi, tidak mungkin Ahli Parlimen itu mahu bersama parti yang ditolak di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan kekalahan sebanyak 15,000 undi.

“Mereka tidak bercita-cita nak keluar parti malah dengan parti yang kalah sebanyak 15,000. Agak bodoh kalau lompat ke parti itu dengan tidak mendapat apa. Lebih baik bersama dengan pihak yang menang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.