Home Sukan Abdul Latif, Siti Rahmah dinobat Olahragawan dan Olahragawati 2016

Abdul Latif, Siti Rahmah dinobat Olahragawan dan Olahragawati 2016

KUALA LUMPUR – Atlet elit paralimpik negara, Abdul Latif Romly dan pesilat, Siti Rahmah Mohamed Nasir masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2016 (ASN 2016) malam ini.

Abdul Latif, 20, melakar sejarah sebagai atlet kelainan upaya pertama dipilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000 masing-masing kepada Abdul Latif dan Siti Rahmah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pemilihannya diputuskan Jawatankuasa Pemilihan ASN 2016 berdasarkan kejayaan cemerlang atlet dari Perlis itu meraih pingat emas, sambil tiga kali memperbaiki rekod dunia dan juga rekod baharu Sukan Paralimpik.

Pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun lepas, Abdul Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya iaitu 7.35 meter yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada 2015 manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol pada Sukan Paralimpik London 2012.

Di Rio, atlet dari Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Arau itu kali pertama mengatasi rekod dunia lamanya dengan catatan 7.47m pada percubaan kedua, diikuti 7.54m pada percubaan berikutnya sebelum memperbaikinya pada lompatan kelima pada jarak 7.60m.

Sementara itu, Siti Rahmah adalah pesilat berpengalaman dan sentiasa mempamerkan prestasi yang konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Pesilat berusia 30 tahun dari Terengganu itu berjaya mencipta hatrik kemenangan dalam Kejuaraan Silat Dunia selepas memenangi edisi ke-17 di Bali, Indonesia, pada Disember tahun lepas.

Sepanjang tahun lepas, Siti Rahmah turut memenangi pingat emas di Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Belanda dan Kejuaraan Silat Asia Tenggara di sini.

Atlet Paralimpik wanita, Siti Noor Radiah Ismail, dinobatkan sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan dan turut menerima hadiah wang tunai RM20,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Pada temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, atlet berusia 24 tahun dari Segamat, Johor itu meraih pingat gangsa di luar jangkaan dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) wanita.

Catatan lompatan sejauh 5.20m sekali gus mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.10m yang dilakukan di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Bagaimanapun, kali ini tiada penerima untuk Olahragawan Paralimpik.

Dalam pada itu, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dinobatkan sebagai Tokoh Sukan di atas jasa mereka dalam pembangunan sukan negara.

Mereka masing-masing menerima piala iringan dan sijil daripada Yang Di-Pertuan Agong.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH:

  1. Olahragawan Kebangsaan: Abdul Latif Romly (Olahraga – Para)

  2. Olahragawati Kebangsaan: Siti Rahmah Mohamed Nasir (Silat)

  3. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Tiada

  4. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Siti Noor Radiah Ismail (Olahraga – Para)

  5. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Tan Wee Kiong dan Goh V Shem (Badminton)

  6. Pasukan Wanita Kebangsaan: Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong (Terjun)

  7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan: R. Jaganathan (Olahraga – Para)

  8. Jurulatih Wanita Kebangsaan: Chin Eei Hui (Badminton)

  9. Anugerah Kepimpinan Sukan: Tan Sri Mohd Ali Rustam (PESAKA) dan N. Shanmugarajah (MGF)

  10. Anugerah Tokoh Sukan: Tun Jeanne Abdullah (Majlis Paralimpik Malaysia) dan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar (Majlis Olimpik Malaysia)

  11. Anugerah Khas: Datuk Dina Rizal (Sports Unite) dan Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani (Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak) – BERNAMA