WASHINGTON – Amerika Syarikat mengetatkan sekatan ke atas Korea Utara dan mengambil langkah diplomatik untuk memberi tekanan supaya republik itu mengakhiri program peluru berpandu dan nuklear.
Presiden Donald Trump mengumumkan strategi itu dalam taklimat khas bersama 100 Senator negaranya.
Sebelum itu, Komander Tertinggi Amerika Syarikat mempertahankan kehadiran sistem pertahanan peluru berpandu di Korea Selatan.
Menurutnya, ketegangan meningkat berikutan kebimbangan Korea Utara akan melancarkan senjata baharu.
“Amerika Syarikat mahukan kestabilan dan keamanan di Semenanjung Korea,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson dan Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis serta Pengarah Perisikan Kebangsaan, Dan Coats.
Jelas mereka, Amerika Syarikat terbuka untuk rundingan bagi mencapai matlamat itu tetapi kekal bersedia untuk mempertahankan diri dan sekutu-sekutu.
Menurut kenyataan itu, Amerika Syarikat amat bimbang mengenai kemajuan dalam teknologi senjata Korea Utara, yang diyakini mampu menyerang negara itu sebelum akhir penggal pertama Presiden Trump.
Sebarang campur tangan tentera Amerika Syarikat akan menjadi penuh risiko, tetapi Trump percaya ia adalah satu ancaman yang boleh dipercayai.
Satu bahagian penting dalam rancangan Trump adalah untuk memberi tekanan kepada China yang menjadi sekutu kuat Korea Utara dalam usaha hapus program senjata nuklearnya. – MalaysiaGazette