Home Sukan Mourinho cemas tapi ceria

Mourinho cemas tapi ceria

Antara aksi yang dtunjukkan pemain dalam perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Olympiakos Piraeus yang berlangsung awal pagi tadi.

LONDON – Jose Mourinho berdepan detik cemas sebelum berakhir ceria selepas dua jaringan Harry Kane membantu pasukannya bangkit menewaskan Olympiakos Piraeus 4-2 dalam perlawanan
yang berlangsung awal pagi tadi.

Kejayaan itu sekali gus membawa pasukan kendaliannya mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Mourinho bertindak pantas memasukkan Christian Eriksen menggantikan Eric Dier pada minit ke-29 dan percaturan mula menjadi dengan jaringan pertama Dele Alli sebelum tamat babak pertama yang menjadi titik kebangkitan Spurs.

Tottenham tampak berbeza pada babak kedua dengan Kane menjaringkan dua gol untuk jaringannya yang ke-20 dalam 24 perlawanan Liga Juara-Juara, mengatasi pencapaian Alessandro Del Piero yang memerlukan 26 perlawanan untuk melakukannya.

Serge Aurier turut mencetak jaringan menerusi rembatan kencang pada minit ke-73.

Dengan kemenangan itu, Tottenham menduduki tangga kedua di belakang Bayern Munich yang akan ditemui dua minggu lagi.

Sementara itu, dalam perlawanan di Belgrade Robert Lewandowski mencipta sejarah Liga Juara-Juara selepas menjaringkan empat gol dalam tempoh 15 minit ketika Bayern Munich membelasah Red Star Belgrade 6-0 awal pagi tadi.

Empat jaringan itu yang terpantas dalam sejarah kejohanan menjadikan Lewandowski penjaring terbanyak dengan 10 gol daripada lima perlawanan musim ini.

Ketangkasannya di Belgrade mengimbau lima jaringan dilakukan dalam masa sembilan minit ketika Bayern menang 5-1 ke atas Wolfsburg dalam aksi Bundesliga pada September 2015.

Penyerang Poland itu kini menjaringkan 27 gol dalam 20 perlawanan untuk Bayern musim ini. – MalaysiaGazette