Home Nasional Belum pun reda hal bintang 5 bucu, bendera Perak pula terbalik

Belum pun reda hal bintang 5 bucu, bendera Perak pula terbalik

Seorang pemain bola keranjang memakai jersi dengan bendera Perak terbalik.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Keranjang Perak telah memohon maaf berhubung bendera negeri terbalik pada jersi yang dipakai oleh salah seorang pemainnya.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan Negeri, Howard Lee berkata, pihaknya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada persatuan itu untuk menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut.

Katanya, kesilapan itu dibuat oleh pembekal jersi.

“Saya difahamkan kesilapan itu bukan disengajakan dan membabitkan satu jersi sahaja.

Jurulatih pasukan itu berjanji bahawa kejadian seumpama itu tidak akan berulang,” kata Lee dalam satu kenyataan.

Gambar yang menunjukkan bendera Perak terbalik pada salah satu jersi pemain bola keranjang negeri itu menjadi viral di media sosial semalam.

Pada jersi itu, bendera Perak didahului dengan warna hitam, kuning dan putih.

Sedangkan,warna bendera negeri Perak dimulakan dengan putih, kuning dan hitam.

Kejadian itu berlaku selepas insiden klip video bintang lima bucu Jalur Gemilang semasa upacara pembukaan Kejohanan Bola Keranjang pada hari Isnin lalu.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) telah memohon maaf atas kecuaian kontraktor yang bertanggungjawab.

BACA: MABA tamat khidmat kontraktor ‘live stream’

Kontrak kontraktor itu telah pun ditamatkan.

Lee memberi amaran supaya kesilapan itu menjadi pengajaran supaya lebih berhati-hati. – MalaysiaGazette