KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau adalah individu yang melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara ini dari Thailand pada tahun 2014.
Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, larangan tersebut adalah keputusan bersama yang dicapai dalam mesyuarat Kabinet ketika itu.
“Itu bukan larangan saya pada tahun 2014 ketika saya jadi Menteri dalam Negeri.
“Itu adalah keputusan bersama yang dicapai Jemaah Menteri pada waktu itu seperti mana dinyatakan sekarang,” katanya keitka ditanya pemberita di lobi Parlimen petang ini.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya tentang abu Chin Peng yang dilaporkan telahpun dibawa pulang ke tempat asalnya pada September lalu.
Semalam Kementerian Dalam Negeri memaklumkan akan menyiasat kesahihan mengenai dakwaan tersebut.
Katanya, KDN bertegas dengan larangan kerajaan sebelum ini untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini. -MalaysiaGazette