Home Ekonomi Widad Group ambil alih IMSB RM122 juta

Widad Group ambil alih IMSB RM122 juta

KUALA LUMPUR – Widad Group Bhd. (WGB), syarikat pegangan pelaburan yang terlibat di dalam aktiviti pembinaan dan perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu telah memeterai perjanjian utama untuk menguasai 100 peratus kepentingan di dalam Innovatif Mewah Sdn. Bhd., (IMSB) pada pertimbangan tunai RM122 juta.

Berikutan penguasaan itu, ia akan memberi nilai konsesi tambahan kepada aktiviti pengurusan fasiliti bersepadu WGB berjumlah RM838 juta dan menjadikan nilai keseluruhan tempahan WGB kira-kira RM3 bilion.

Di dalam notis kepada Bursa Malaysia hari ini, WGB telah memeterai perjanjian utama dengan pemegang saham IMSB iaitu, Menang Development Sdn. Bhd. (MDSB), Menang Industries (M) Sdn. Bhd (MISB) dan Tentu Selesa Sdn Bhd (TSSB).
“MDSB dan MISB merupakan syarikat milik penuh Menang Corporation Bhd., yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Sekuriti dan cadangan pengambilalihan itu dijangka siap dalam tempoh lapan bulan dari pelaksanaan perjanjian utama,” kata Pengerusi Eksekutif WGB, Datuk Feizal Mustapha.

IMSB merupakan syarikat yang diperbadankan untuk tujuan pembangunan fasiliti dan infrastruktur serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Pada 4 Mei 2010 telah memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk membangunkan fasiliti, infrastruktur berserta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kampus UiTM Seremban 3 di Negeri Sembilan.

Ketika ini, IMSB masih memiliki konsesi tersebut bagi tempoh 14 tahun berakhir Januari 2034 yang berjumlah RM838 juta.
Feizal berkata, pertimbangan tunai untuk membeli IMSB akan diraih menerusi kombinasi dana dalaman dan juga pinjaman bank.

“Pengambilalihan konsesi ini merupakan yang kedua kepada WGB selepas menguasai Serendah Heights Sdn. Bhd. pada Oktober lalu, sekali gus ia menyaksikan peluang strategik kepada kami untuk mengukuhkan segmen pengurusan fasiliti bersepadu yang mana ia merupakan penyumbang terbesar kira-kira 50 peratus kepada syarikat,” katanya.

WGB pada Oktober lalu telah menguasai 90 peratus kepentingan di dalam Serendah Heights Sdn. Bhd., pada nilai RM95.89 juta.

Serendah Heights memiliki 100 peratus saham di dalam YBK Usahasama Sdn. Bhd., yang memiliki konsesi untuk membangun infrastruktur dan fasiliti serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kampus UiTM Jasin, Melaka.

Ketika ini YBK Usahasama memiliki baki tempoh konsesi selama 14 tahun berakhir 2034 bernilai RM861.6 juta.

Feizal menambah, apabila selesai pengambilalihan ke atas kedua-duanya itu, ia menjadikan nilai keseluruhan tempahan WGB kira-kira RM3 bilion. – MalaysiaGazette