SEPANG – Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kini dalam proses pengesanan bagi proses mengambil keterangan pihak berkenaan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, siasatan mengenai sudah dijalankan bagi mengenalpasti kumpulan berkenaan.
“Polis dalam tindakan untuk memanggil mereka yang terlibat bawa masuk abu mayat Chin Peng,” katanya sidang media Ops Khazanah di Paya Indah Wetland hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis sudah mengenal pasti laluan dan tarikh abu mayat mendiang Chin Peng dibawa pulang ke Perak.
Huzir juga berkata, pihaknya bersama Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan siasatan lanjut bagaimana abu mayat berkenaan boleh lolos ke Malaysia dari Thailand.
Ditanya samada kumpulan itu adalah warga tempatan, Mazlan berkata dakwaan itu juga sedang disiasat.
“Kita masih lagi siasat siapa yang bawa masuk oleh kerana kejadian sudah lama sejak September. Jadi, ambil masa untuk kita siasat,” katanya lagi.
Perbuatan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin PKM itu kini disiasat di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selasa lalu, kumpulan itu dilaporkan membawa abu mayat Chin Peng ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.
Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.
Chin Peng meninggal dunia pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua pada usia 90 tahun. -MalaysiaGazette dan