Home Nasional Bantah RUU bukti pembangkang khianati pengundi – Hannah

Bantah RUU bukti pembangkang khianati pengundi – Hannah

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengkhianati pengundi khususnya mereka yang menerima bantuan, kata Hannah Yeoh.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mendakwa parti pembangkang sanggup mempolitikkan peruntukan kepada kementeriannya dengan meminta undi belah bahagi bagi mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 baru-baru ini.

Bukan masalah tidak cukup korum, sebaliknya menurut beliau,  pembangkang didakwanya sengaja berniat untuk memastikan peruntukan peruntukan yang telah diumumkan pada Belanjawan 2020 tidak berjaya.

Sepatutnya RUU Perbekalan 2020 itu  tidak berhadapan dengan halangan kerana ia bagi mewajarkan bantuan dan kebajikan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan, kata Ahli Parlimen Segambut (DAP) itu.

“Sangat penting bagi golongan masyarakat perlu bantuan ini tak boleh tergendala tapi (saya) terkejut bahawa ada ahli parlimen mainkan isu politik pada hari itu mengundi tidak setuju dengan peruntukan kebajikan.

“Pendapat saya, ini bukan isu korum pada hari itu kita ada korum ini isu undi tidak setuju kepada peruntukan kementerian.

“Saya rasa ahli parlimen ini (pembangkang) kena jawab kepada pengundi mereka, penerima bantuan, orang miskin di kawasan mereka sendiri kenapa dalam rekod mereka tidak setuju  peruntukan kepada kementerian,” katanya ketika sidang media sambil mempertikaikan mengapa tindakan itu dibuat terhadap kementeriannya hari ini.

Hannah selain itu menempelak parti pembangkang dengan menegaskan peruntukan perlu diluluskan untuk tujuan bantuan yang patut disalurkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Bila masuk isu kebajikan tidak boleh main politik. Itu ialah bantuan yang mesti diturunkan setiap bulan,” ujarnya.

Pada Selasa yang lalu Dewan Rakyat kecoh pada pukul 10:32 malam apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof membuat undi belah bahagi bagi mengundi RUU Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akibat masalah korum.

Ketika itu, Hannah baru selesai menggulung RUU berkenaan di peringkat jawatankuasa.

Permohonan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera (BN) itu kemudian dipersetujui Mohamad Arif dan wakil pembangkang meminta Bentara Dewan mengira bilangan wakil kerajaan.

Speaker akhirnya mengumumkan bilangan wakil rakyat adalah seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak bersetuju dengan RUU Perbekalan 2020 bagi kementerian tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini juga membidas Hannah dengan berkata, menteri tidak perlu menyalahkan parti lawan sebaliknya mereka sepatutnya memastikan korum cukup demi memastikan Belanjawan 2020 untuk kementerian tersebut terlaksana mengikut dasar dan cara demokrasi.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

“Itu imej kerajaanlah, kenapa membiarkan tak cukup bilangan untuk menyokong, kalau gagal, itu kegagalan kerajaan bukan kegagalan pembangkang.

“Kita pembangkang ambil kesempatan untuk membuktikan bahawa kerajaan ini lemah. Itu saja, itu tujuan pembangkang. Mereka terbukti kerajaan yang gagal,”  katanya.- MalaysiaGazette