Home Politik Bantah tindakan parti, PKR mungkin dibatal pendaftaran

Bantah tindakan parti, PKR mungkin dibatal pendaftaran

KUALA LUMPUR – PKR nampaknya terus mengundang krisis apabila menamatkan perkhidmatan Pengerusi Tetap Pemuda PKR, Muhamad Mizan Adli Mohd Nor.

Selain itu, timbalannya, Mohd. Ramly Ahmad juga menerima nasib yang sama.

Kedua-dua mereka menerima surat penamatan tugas itu semalam – beberapa hari sebelum kongres nasional parti itu diadakan.

Menurut laporan Star, tindakan parti itu dibuat atas alasan usia mereka sudah melebihi 35 tahun seperti yang ditetapkan.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razak.

Mizan dan Ramly dilaporkan mempertikaikan tindakan itu dan mendakwa mereka dipilih oleh wakil pemuda secara sah dan akan berundur sekiranya ia kehendak perwakilan yang bersidang 6 Disember ini.

Kedua-dua mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini mahu pucuk pimpinan parti menyiasat perkara itu secara profesional atau mereka akan membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Mereka juga membayangkan sekiranya ia berlaku kemungkinan untuk RoS mengharamkan PKR akan berlaku seperti yang pernah berlaku kepada UMNO.

Difahamkan, penamatan tugas itu ada kaitan dengan ‘percakaran’ yang berlaku antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.- MalaysiaGazette