Home Nasional Usaha basmi kemiskinan jangan sekadar beri panadol

Usaha basmi kemiskinan jangan sekadar beri panadol

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media khas di Kompleks Perbadanan Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Segala usaha kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) selama ini dalam membasmi kemiskinan dianggap sekadar memberi panadol bagi menghilangkan kesakitan sementara sahaja.

Justeru, segala usaha yang dibuat kini perlu ada penyelesaian tuntas, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Mengakui hakikat itu, satu seminar sehari bertajuk Pembasmian Kemiskinan Bandar akan diadakan melibatkan 16 kertas kajian yang disediakan oleh pelbagai pihak yang terlibat lansung dengan isu kemiskinan dan sosioekonomi masyarakat bandar selama ini, katanya.

Ia anjuran bersama kementeriannya, Yayasan Salam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Dewan Serbaguna di kementeriannya di Putrajaya pada 5 Disember ini.

Katanya, masalah kemiskinan bandar adalah isu yang diketahui umum dibiar lama tanpa penyelesaian jangka panjang di mana antara penyebabnya dikaitkan dengan penghijrahan orang dari kampung ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan.

“Malangnya bukan semua yang berjaya memperoleh pekerjaan sekaligus menjadi satu kitaran hidup yang berulang untuk mereka.

“Ia boleh dilihat dalam pelbagai bentuk antaranya perumahan antara masalah terbesar di beberapa tempat masalah setinggan masih wujud akibat rumah panjang yang disediakan pengendali ladnag getah dan setelah ditutup mereka jadi warga kota tanpa rumah dan mata pencarian,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Tambah Khalid, keperluan untuk kementerian mengembleng tenaga dengan semua pemain industri kemiskinan iaitu NGO-NGO menjalankan kajian secara menyeluruh dan mendalam punca kemiskinan selain mengenalpasti kaedah mengatasi isu berkenaan.

Ahli Parlimen Shah Alam itu memberitahu, melalui seminar berkenaan pihaknya mengumpulkan pakar-pakar akademik,ekonomi, aktivitis NGO dan pertubuhan kebajikan demi mencari idea dan cadangan yang bernas, segar dan praktikal.

“Jutaan bantuan diberikan berdekad lama sejak kerajaan terdahulu sehingga sekarang tapi masalah ini masih wujud dalam skala besar.

“Seminar ini bertujuan mencari kalau ada kaedah terbaik dengan sesi brainstorming bersama pakar-pakar kemiskinan dan individu yang boleh menyumbang idea kritis termasuk mengambil kira kaedah yang digunapakai negara serantau di India dan Filipina dan sebagainya.

“Sebanyak 16 kertas kajian akan dibentangkan oleh NGO, ahli akademik dan aktivis masyarakat,Profesor dari Universiti Awam seperti UM, UPM, UKM dan UIA untuk percambahan fikiran dan idea demi mencari jalan basmi kemiskinan bandar,” ujarnya.

Ditanya sebarang data tepat berkaitan kemiskinan bandar, kata Khalid, mengikut statistik e-Kasih, seramai lebih 4,000 miskin bandar termasuk miskin tegar.

Tambah beliau, selepas seminar itu, satu bengkel penyelidikan akan dianjurkan pula selama enam hingga lapan bulan sehingga pertengahan 2020 melibatkan pihak antarabangsa yang pengalaman dalam mengendalikan isu kemiskinan sebelum menyediakan satu pelan tindakan menyeluruh untuk digunakan membasmi kemiskinan bandar di negara ini.

“Dalam kalangan 16 kertas kerja turut sertai adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Pelan tindakan itu nanti tidak ada keperluan untuk merujuk ke Kabinet kerana hasil pelaksanaan adalah bagi matlamat yang telah dipersetujui kabinet sebelum ini iaitu demi Kemakmuran Bersama jadi miskin bandar juga bermanfaat dari kemakmuran bersama yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pada hari seminar juga akan diadakan mini pameran yang mempamerkan hasil inisiatif yang dilaksanakan NGO-NGO sehingga menjayakan warga miskin keluar dari kepompong miskin tegar,” ujarnya.-MalaysiaGazette