KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid, Raihan kekal disenaraikan dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia bagi tahun kesembilan berturut-turut.
Pengiktirafan itu dicapai hasil kajian dilakukan Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat dan dikeluarkan dalam The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims bagi seluruh umat Islam.
Hasil kajian itu merangkumi pelbagai bidang sepanjang tahun 2016.
Raihan yang kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim diletakkan dalam kategori Seni dan Budaya mewakili Malaysia.
Turut tersenarai ialah Yusuf Islam mewakili United Kingdom dan Maher Zain (Sweden).
Nama Raihan mula tersenarai sejak tahun 2008 apabila berjaya mencetus genre muzik baharu Islam kontemporari yang akhirnya menjadi ikutan kepada penggiat nasyid di dunia.
Fenomena nasyid kontemporari yang tercetus sejak album pertama mereka pada 1997 berjudul Puji-Pujian meninggalkan impak yang kuat di seluruh dunia.
Selain itu, Raihan satu-satunya artis yang berjaya melengkapkan jelajah ke enam benua di seluruh dunia untuk mengadakan persembahan seperti ke Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Australia.
Kumpulan itu juga pernah diundang Ratu Elizabeth untuk mengadakan persembahan di hadapan baginda di The Royal Albert Hall, England.
Dalam pada itu, artis lain yang turut tersenarai bagi tahun kedua termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Hamidun.
Selebriti antarabangsa pula menyaksikan penyenaraian Aamir Khan, Sami Yusuf dan ramai lagi. – MalaysiaGazette