Home Sukan Harimau Malaya kini 154 dunia

Harimau Malaya kini 154 dunia

Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid (kiri) meraikan jaringan gol keduanya pada perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya melonjak empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-154 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman Facebook rasmi miliknya berdasarkan kemaskini ranking terbaharu hari ini.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan FIFA, skuad negara menghuni tangga ke 154 dunia dengan mengumpul 1,040 mata.

Perkembangan positif ini adalah susulan kejayaan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menewaskan Tajikistan 1-0 pada perlawanan persahabatan.

Ia disusuli dengan dua kemenangan menentang Thailand (2-1) dan Indonesia (2-0) pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Vietnam pula kekal mendahului carta Asia Tenggara pada kedudukan ke-94 dunia diikuti Thailand (113), Filipina (124) dan Myanmar (136).

Negara Asia Tenggara lain seperti Singapura pula menduduki tangga ke-157, Indonesia dan Kemboja (173), Laos (188) serta Brunei (191) manakala Timor Leste (196).

Jepun kekal sebagai pasukan nombor satu Asia apabila menduduki ranking ke-28 dunia diikuti Iran (33), Korea Selatan (41) dan Australia (42).
– MalaysiaaGazette