KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Berhad (BHB) mencatatkan peningkatan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (PBZT) sebanyak 16.2 peratus atau RM938.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2019, berbanding RM807.3 juta pada tempoh sama tahun 2018.
Kedua-dua anak syarikat perbankan dan takafulnya merekodkan prestasi yang lebih baik.
Pendapatan sesaham bagi tempoh sembilan bulan adalah 34.50 sen berbanding 30.84 sen bagi tempoh sama tahun lalu manakala Aset Bersih Sesaham mengukuh kepada RM3.41 setakat akhir September 2019, daripada RM2.97 pada akhir Disember 2019. Ini diterjemahkan kepada Pulangan Ekuiti Bersih Tahunan sebanyak 15.7 peratus, mengatasi rakan-rakan industri yang lain.
Bagi anak syarikatnya, Kumpulan Bank Islam (Bank Islam) merekodkan PBZT sebanyak RM646.2 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019, naik 3.3 peratus atau RM20.5 juta berbanding tempoh sama 2018.
Prestasi Bank Islam yang lebih baik sebahagian besarnya disumbangkan oleh jumlah pendapatan yang lebih tinggi ekoran peningkatan pembiayaan bersih Tahun-ke-Tahun (“Y-o-Y”) sebanyak RM4.0 bilion atau 8.9 peratus serta peningkatan dalam pelaburan instrumen kewangan Y-o-Y sebanyak RM1.6 bilion atau 13.8 peratus.
Bank Islam juga telah mengeluarkan pembiayaan yang signifikan kepada sebuah pelanggan korporat berjumlah RM1.30 bilion pada suku ketiga yang telah menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan pembiayaan.
Pembiayaan bersih berada pada RM48.2 bilion (Sept 2018: RM44.2 bilion) manakala pelaburan dalam instrumen kewangan berada pada RM13.1 bilion (Sept 2018: RM11.5 bilion).
Sehingga akhir September 2019, akaun deposit dan pelaburan (“IA”) pelanggan berada pada RM56.0 bilion dengan peningkatan sebanyak RM5.7 bilion atau 11.3 peratus.
Nisbah Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) dan IA Transaksi adalah 31.2 peratus.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) telah mencatatkan PBZT sebanyak RM332.2 juta, meningkat 41.8 peratus berbanding RM234.2 juta pada tempoh sama tahun 2018.
Keuntungan yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh pendapatan fi wakalah bersih lebih tinggi susulan pertumbuhan dalam perniagaan Takaful Keluarga serta pendapatan pelaburan bersih yang lebih tinggi.- MalaysiaGazette