Home Nasional 148 peniaga Melayu Puchong Permai rayu MB campur tangan, tangguh perobohan

148 peniaga Melayu Puchong Permai rayu MB campur tangan, tangguh perobohan

Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Datuk Ismail Awang bercakap pada sidang media mengenai kebakaran uptown dan isu perobohan uptown di Puchong Permai, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 DISEMBER 2019

PUCHONG – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari digesa segera campur tangan bagi menangguhkan perobohan premis perniagaan di Puchong Permai yang dijadualkan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 3 Disember ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja Puchong Permai, Datuk Ismail Awang berkata, ia tidak sepatutnya diteruskan memandangkan penjaja terlibat masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya termasuk pampasan dan tapak baharu.

“Kami merayu agar Menteri Besar Selangor menangguhkan perobohan pada Selasa ini sehingga ke satu tarikh yang sesuai.

“Kalau nak meroboh sekalipun kena buat satu perbincangan di mana nak diletakkan sementara peniaga-peniaga ini supaya tidak menjejaskan pendapatan mereka.

“Kita bukan menolak pembangunan tetapi pihak MPSJ harus mengambil kira tempat yang ada ruang di sini dan mesti beri keutamaan kepada peniaga-peniaga supaya lot-lot perniagaan dapat diwujudkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Roboh Premis Perniagaan
Sebahagian gerai yang telah dirobohkan pada sidang media Persatuan Penjaja Puchong Permai mengenai kebakaran uptown dan isu perobohan uptown di Puchong Permai, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 DISEMBER 2019

Ismail juga berkata, lebih malang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang enggan membantu para peniaga terbabit walaupun dihubungi beberapa kali sebelum ini.

“Kita berharap MPSJ berbincang dengan semua peniaga untuk mencari jalan penyelesaian dapat dicapai.

“Cuma hari ini kita agak kesal apabila ADUN Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud tidak membantu peniaga-peniaga terlibat.

“Sepatutnya sebagai pemimpin yang dipilih oleh masyarakat di sini membantu semua peniaga bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kita agak kecewa sehingga ke hari ini kami cuba menghubungi beliau seolah-olah beliau merestui perobohan yang dicadangkan MPSJ pada Selasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail menggesa MPSJ mengkaji semula tapak baharu yang jauh lebih kecil dan tempoh operasi perniagaan tidak lebih seperti pasar malam sedangkan mereka menjalankan perniagaan di premis statik.

“Ada perbincangan peringkat awal dengan pihak MPSJ namun hanya 8 orang peniaga sahaja berjaya mendapat penempatan semula.

“MPSJ hanya beri kawasan perniagaan buka pagi dan sebelah petang kena tutup, khemah pula sebesar 8×8 kaki saja.

“Sepatutnya saiz satu premis 20×20 kaki persegi kerana kita bukan peniaga pasar malam, kita peniaga kedai makan,” katanya.

Katanya lagi, lebih membimbangkan apabila masalah baharu akan timbul sekiranya perobohan itu diteruskan susulan majoriti peniaga di Puchong Permai tergolong dalam kalangan berpendapatan rendah (B40).

“Kita merayu kepada Menteri Besar supaya beliau memberi ruang kepada kita supaya menangguhkan sementara perobohan pada 3 Disember ini.

“Sekiranya berlaku perobohan ini, maka sudah tentu sumber pendapatan peniaga-peniaga yang dikategorikan di bawah B40 akan menimbulkan masalah baru, pengganguran dan tak lama lagi anak-anak kita nak beli kelengkapan sekolah akhir tahun.

“Jika perobohan berlaku, akan menimbulkan masalah baharu kepada peniaga-peniaga di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette