Home Pendapat Jika tidak hargai penjawat awam sekali pun, janganlah keji hanya bersandarkan persepsi

Jika tidak hargai penjawat awam sekali pun, janganlah keji hanya bersandarkan persepsi

Foto hiasan -Para penjawat awam melafazkan ikrar ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2019.

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

ARTIKEL ini sama sekali tidak bertujuan untuk membela atau mempertahankan mana-mana penjawat awam yang bermasalah dan terbukti terlibat dengan pelbagai penyelewengan serta salah guna kuasa. Sebaliknya nukilan ini hanya bermatlamatkan harapan dan permintaan penulis kepada semua pihak agar menzahirkan sedikit rasa ihsan, timbang rasa serta berlaku adil kepada penjawat awam dalam semua keadaan. Janganlah layan kami umpama habis madu sepah dibuang.

Ironinya apa jua isu berkaitan penjawat awam akan sentiasa menarik perhatian khalayak. Anggota masyarakat dari kedai kopi hingga ke media sosial cukup berminat untuk berbincang, berdebat dan memberi maklum balas termasuklah mengkritik dan juga memuji tentang isu yang didedahkan oleh pihak media.

Kita boleh memahami tahap signifikan dan kepentingan perkara ini kerana Penjawat Awam adalah nadi pentadbiran kerajaan dan kelompok individu yang berperanan penting dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dengan adil, betul dan efisien. Maka tidak hairanlah segala gerak geri baik individu mahupun jabatan kerajaan sentiasa diperhati, dipantau dan dinilai oleh pelbagai pihak.

Lazimnya perkara yang akan menarik perhatian dan minat anggota masyarakat ialah laporan atau pendedahan berbentuk negatif iaitu tentang sebarang salah laku Penjawat Awam seperti penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berbanding pelbagai sumbangan bermakna penjawat awam kepada rakyat dan negara.

Isu sensitif seperti ini cukup mudah mendapat reaksi dari masyarakat terutamanya dalam kalangan netizen. Misalnya baru-baru ini kecoh seluruh negara apabila ada pihak yang mendakwa seorang Ketua Setiauasaha (KSU) sebuah kementerian mensabotaj menteri atau bosnya sendiri. Tanpa siasatan yang menyeluruh termasuk individu berkenaan diberi ruang untuk pembelaan yang sewajarnya, masyarakat terutamanya netizen dengan mudah menjatuhkan hukuman bersalah sehingga dikeji dan dihina dalam media sosial. Adilkah sikap dan penilaian seperti ini?

Sebagai penjawat awam terminologi sabotaj yang digunakan itu cukup memberi kesan kepada penulis. Hal ini kerana antara lain sabotaj membawa maksud, perbuatan menggagalkan sesuatu usaha atau perbuatan khianat. Jadi dakwaan mensabotaj ini cukup besar impaknya. Dan lebih ironi lagi dakwaan yang dilemparkan ini adalah ke atas individu berjawatan besar dan tinggi iaitu orang nombor satu atau ketua perkhidmatan awam dalam kementerian tersebut.

Secara umumnya apa yang sangat dikesali ialah anggota masyarakat dengan begitu mudah menjatuhkan hukuman sebelum proses keadilan mengambil tempat. Sebagai sebuah negara yang demokrasi dan berpegang kukuh kepada undang-undang termasuklah prinsip rule of law  yang dibawa oleh kerajaan, kita sepatutnya tidak boleh terus menjatuhkan hukuman sebelum disiasat dan dibuktikan bersalah. Dakwaan semata-mata tanpa sebarang bukti serta sebelum melalui proses siasatan dan pendakwaan yang telus dan terperinci boleh dikategorikan memfitnah. Lebih parah lagi imej dan nama baik perkhidmatan awam dan seluruh penjawat awam akan turut terjejas.

Kita akui penjawat awam juga bukanlah maksum atau bebas dari salah laku, buktinya sudah ada banyak tangkapan dan kes yang dibawa ke mahkamah serta dijatuhkan pelbagai hukuman mengikut kesalahan masing-masing. Justeru apa yang diharapkan sangat ialah jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman. Biarkan proses siasatan mengambil tempat dahulu. Penulis cukup kecewa apabila anggota masyarakat terutamanya netizen dengan begitu mudah mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat, fitnah dan tuduhan kepada individu-individu penjawat awam yang baru disyaki melakukan sesuatu kesalahan. Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

Sekarang sudah timbul pula cakap-cakap akan ada proses pertukaran beberapa orang pegawai kanan kerajaan. Secara prinsipnya pertukaran adalah perkara biasa terutamanya bila melibatkan eksais kenaikan pangkat ataupun seseorang itu ditukarkan atas keperluan kepakaran di tempat lain.

Namun pertukaran yang dilakukan atas sebab sesorang itu disyaki atau didakwa terlibat sebarang salah laku bukan saja sentiasa menarik perhatian khalayak, malah boleh mengaibkan individu serta menjejaskan perkhidmatan dan kerjayanya. Jadi pertukaran seperti ini perlu dilaksanakan dengan adil, penuh berhemat, berhati-hati dan bijak. Kita tidak mahu ada yang menjadi mangsa keadaan terutamanya pegawai senior yang telah menabur khidmat bakti dengan penuh dedikasi sekian lama.

Kalau betul ada pegawai yang terlibat dalam unsur sabotaj atau apa jua salah laku sila ambil tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya, kerana kita juga tidak mahu nila setitik merosakkan susu sebelanga, tetapi pada masa yang sama jika sebaliknya didapati tiada sebarang unsur sabotaj kita harap semua yang menuduh memohon maaf secara terbuka dan membersihkan nama individu-individu yang terlibat secara khususnya dan perkhidmatan awam secara umumnya.

Sekali lagi ditegaskan penjawat awam adalah nadi pentadbiran kerajaan. Semua penjawat awam memegang kepada prinsip memberikan perkhidmatan yang terbaik dan efisien kepada rakyat dan juga kerajaan semasa. Dalam konteks ini kita sentiasa menyokong penuh usaha semua pihak untuk membersihkan perkhidmatan awam dari belenggu rasuah dan masalah integriti.

Namun janganlah begitu mudah menjatuhkan hukuman sebelum disiasat perkara sebenar. Kita perlu berlaku adil dan menjunjung prinsip sesorang itu tidak bersalah selagi dibuktikan bersalah. Juga jangan memandang negatif kepada perkhidmatan awam atau penjawat awam secara keseluruhannya hanya kerana tindak tanduk seorang dua penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku.

Akhirnya apa yang diharapkan ialah, kalau tidak memuji atau menghargai sekalipun segala sumbangan dan jasa semua penjawat awam, janganlah kutuk dan keji dengan begitu mudah hanya bersandarkan kepada andaian dan persepsi semata-mata.

— PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)