PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen memperkenalkan sistem baharu ePLKS@JIM sebagai inisiatif baharu memudahkan orang awam terutamanya para majikan untuk melanjutkan tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing.
Sistem secara atas talian tanpa berurusan di kaunter itu dibuat bermula 1 Januari 2020.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui sistem ePLKS@JIM, majikan akan berurusan terus dengan Jabatan Imigresen tanpa mengambil nombor giliran dan menunggu di kaunter.
“Ia akan mempercepatkan urusan perlanjutan PLKS pekerja asing yang digaji mereka tanpa perlu melalui perantara atau vendor yang memberi perkhidmatan sedia ada.
“Perkhidmatan ePLKS@JIM ini adalah percuma dan majikan tidak dikenakan sebarang bayaran. Majikan hanya perlu membayar levi, proses dan visa sepertimana lanjutan PLJS biasa,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Imigresen hari ini.
Turut bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Bagaimanapun kata Muhyiddin, majikan masih mempunyai pilihan sama ada menggunakan perkhidmatan ePLKS@JIM atau menggunakan perkhidmatan vendor sedia ada untuk membuat lanjutan PLKS pekerja asing.
“Majikan adalah digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya ePLKS@JIM ini bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan JIM berjalan lancar dan sempurna.
“Orang ramai dan majikan boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang ePLKS ini di laman sesawang rasmi Imigresen dan pengumuman dari semasa ke semasa,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette