KUALA LUMPUR- Dua projek pembangunan di dua buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM27.94 juta.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri Kedua mendedahkan, projek pembangunan di MRSM Bagan Datuk, Perak merekodkan perbelanjaan melebihi peruntukan sebanyak RM11.06 juta manakala MRSM Bera, Pahang telah berbelanja sebanyak RM25.88 juta, RM16.88 juta berbanding peruntukan yang telah diberikan.
“MARA menerima RM57.75 juta peruntukan untuk Projek Pembangunan Bagi Sektor Pendidikan Menengah
“Semakan terhadap Laporan Perbelanjaan Projek Pembangunan MARA di bawah Rancangan Malaysia ke-11 mendapati perbelanjaan bagi dua projek telah melebihi peruntukan yang diterima,” katanya.
Selain MARA, Institut Sukan Negara (ISN) juga dikesan telah berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM27.45 juta.
Menurut laporan tersebut, ISN menerima peruntukan dana bagi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) sebanyak RM46.50 juta manakala Geran Pembangunan Anti-Doping Malaysia (Adamas) pula berjumlah RM2.71 juta bagi tahun 2015-2018.
“Perbelanjaan berkaitan dengan pembangunan sukan bagi tahun 2015-2018 adalah berjumlah RM90.38 juta.
“Pada 31 Disember 2018, baki geran telah mengalami defisit berjumlah RM27.45 juta,” katanya.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri Kedua, Geran Pembangunan Adamas diperuntukkan untuk pembayaran emolument kakitangan Adamas secara kontrak yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Pada 2015 dan 2017, pihak ISN telah berbelanja melebihi peruntukan yang diberikan KBS.
Katanya, meskipun ISN mengurangkan perbelanjaan daripada peruntukan yang diterima pada 2018, ianya masih tidak mencukupi untuk menampung defisit bagi tahun sebelumnya.- MalaysiaGazette