KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan didesak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur The Malaysia Tattoo Expo 2019, susulan peragaan biadap segelintir pengunjung di dalam keadaan separuh bogel ketika acara tersebut berlangsung.
Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berkata, memang benar ekspo ini telah berlangsung sejak tahun 2015, tetapi tiada acara
peragaan separuh bogel yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, penganjur dilihat biadap, tidak peka dan sensitif dengan adab ketimuran dan ketatasusilaan rakyat Malaysia yang mana setiap perkara yang dilaksanakan perlulah berdasarkan nilai kesopanan, sesuai dengan nilai-nilai yang ada pada rakyat Malaysia.
Peragaan separuh bogel ini, menurut beliau, menemplak institusi Rukun Negara ke-5 yang dijunjung sejak kecil, tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
“Kita menyokong warisan tatu masyarakat di Malaysia Timur seperti di Sarawak dan Sabah, tetapi jangan biarkan warisan tradisional ini dirobek oleh anasir-anasir lucah.
“Kebebasan hak seseorang haruslah dibatasi oleh kesopanan dan ketatasusilaan nilai-nilai ketimuran,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, DPIM turut terkilan apabila Pemuda Pakatan Harapan diam membisu apabila isu ini terbongkar.
“Adakah mereka berdiam diri kerana setuju dek fahaman liberal melampau atas dasar kebebasan hak individu?
“Seharusnya, walaupun di pihak kerajaan, Pemuda Pakatan Harapan dan Menteri yang menjaga hal ehwal agama, perlu
bertegas dalam mengatasi isu kelucahan melampau sebegini. Katakan benar, walaupun pahit!,” ujarnya. – MalaysiaGazette