Home Nasional Elak pandu kenderaan redah banjir – JPS Kelantan

Elak pandu kenderaan redah banjir – JPS Kelantan

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Penduduk di kawasan banjir dinasihati tidak memandu kenderaan mengharungi banjir kerana dikhuatiri berlakunya pemendapan jalan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, banjir boleh menyebabkan beberapa risiko seperti tebing runtuh, pemendapan jalan dan aliran arus air yang sangat laju.

“Atas faktor keselamatan, pihak JPS Kelantan menasihatkan kepada semua penduduk terutamanya yang terlibat dengan kawasan banjir agar bersiap sedia dan berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya risiko kemalangan yang tidak diingini.

“Ibu bapa juga diminta menasihati anak-anak agar tidak bermain di kawasan yang bahaya supaya tidak berlaku sebarang risiko kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, langkah keselamatan musim banjir bagaimanapun hanyalah usaha dan ikhtiar untuk mengelak sebarang kemungkinan musibah yang tidak diingini berlaku.

“Semoga sedikit maklumat ini mampu membantu untuk menjaga keselamatan di musim banjir,” katanya. – Bernama