Home Sukan SEA : Tiga emas boling padang hadiah paling bermakna atlet negara

SEA : Tiga emas boling padang hadiah paling bermakna atlet negara

Pasukan boling padang meraih tiga pingat emas.

NEW CLARK CITY (Filipina) – Kejayaan meraih tiga daripada empat pingat emas dalam acara boling padang yang dipertandingkan hari ini di Sukan SEA ke-30, merupakan hadiah paling bermakna untuk atlet negara yang berdepan kesukaran, beraksi di atas permukaan padang rumput yang buruk, di CDC Lot Friendship Gate, dekat sini, hari ini.

Perkara berkenaan diakui sendiri Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh yang mengakui pemainnya bergelut untuk mendapatkan rentak permainan pada pusingan awal sebelum berjaya meraih kemenangan berharga pada tiga aksi final.

Beliau mengakui ia bukan tugas mudah, memandangkan negara lain seperti Thailand dan tuan rumah Filipina, yang turut bergelut mendapat keserasian di atas permukaan padang berkenaan, yang tidak rata, selain kekurangan rumput, sekali gus memberi cabaran kepada atlet bertanding untuk mendapatkan balingan yang sempurna.

“Kita harap dapat meraih dua lagi pingat emas pada Khamis ini bagi mencapai sasaran lima emas, yang disasarkan pada Sukan SEA kali ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas berakhirnya empat acara boling padang di venue berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraidi turut memuji pemain veteran negara, Siti Zalina Ahmad yang mempamerkan prestasi cemerlang, selain turut membimbing beberapa pemain muda lain sewaktu aksi final hari ini.

Berkongsi pandangan sama adalah Siti Zalina yang berbangga dengan kejayaan cemerlang yang dicapai pada hari ini, yang merupakan emas ketiganya sejak meraih emas pada edisi 1997 di Brunei, selain satu emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pemain berusia 41 tahun yang membuat penampilan kali keenam pada Sukan SEA sejak edisi 1997, turut mendedahkan selain cabaran beraksi di atas permukaan padang rumput yang tidak rata, barisan pemain negara terpaksa berdepan dengan keadaan berhabuk, disebabkan kekurangan rumput di atas permukaan padang berkenaan.

“Memang pihak tuan rumah beri cabaran kepada kita, tetapi sebenarnya adalah keadaan padang kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan terjadi kepada bola yang kami baling.

“Pada saya, kemenangan hari ini dibantu oleh semangat berpasukan, selain kita cuba kurangkan kesilapan,” jelas Siti Zalina yang merupakan anggota paling senior dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Trio lelaki negara, iaitu Izzat Shameer Dzulkeple, Mohamed Firdaus Abd Jabal dan Mohammad Syamil Syazwan Ramli turut menyifatkan kejayaan hari ini amat bermakna, dan mendedikasikan kemenangan tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia, yang sentiasa mendoakan kejayaan atlet negara pada pentas sukan antarabangsa.

Pada aksi hari ini, Siti Zalina Ahmad dan tiga pemain muda — Afiqah Dayana Budiman, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Syafiqah Haidar Afif Abdul Rahman, menyumbang emas pertama Malaysia selepas menewaskan pasukan Filipina dengan keputusan 17-6 dalam acara fours wanita.

Gandingan pemain berpengalaman, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil pula menyumbang emas kedua, setelah menewaskan pasukan Brunei dengan keputusan 21-14 dalam acara pairs wanita.

Izzat, Mohamed Fairus dan Mohammad Syamil mengesahkan pingat ketiga acara boling pada untuk Malaysia, selepas menewaskan pasukan tuan rumah dengan kemenangan 14-8 pada aksi final triples lelaki.

— BERNAMA