KUALA LUMPUR – Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian memberi bayangan akan hadir ke Kongres Nasional yang berlangsung di Melaka hujung minggu ini.
Beliau memberikan reaksi itu selepas bertindak memboikot konvensyen negeri pada 23 November lalu yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jangan risau kamu boleh jumpa saya Ahad ini (di Kongres Nasional PKR),” katanya ringkas pada sidang media sempena Sambutan Profesion Teknikal Negara 2019 bertempat di Pusat Konvensyen TM di sini hari ini.
Dalam pada masa sama, Baru enggan menjawab soalan berkaitan politik daripada wartawan sebagai menghargai Sambutan Profesion Teknikal Negara 2019 hari ini.
“Kalau politik saya tidak tahu, hari ini hari bersejarah (sambutan profesion teknikal negara) jangan kaburi dengan isu politik, isu hari ini kena beri keutamaan dahulu,” ujarnya.
Kongres Nasional PKR akan berlangsung pada 7 dan 8 Disember ini dan merupakan acara utama parti itu yang akan dihadiri semua pimpinan termasuk Anwar.
Sebelum ini, Baru dan beberapa pimpinan negeri lain tidak menghadiri Konvensyen PKR Sarawak yang dihadiri Anwar.
Pada 18 November lalu, Majlis Pimpinan PKR Sarawak yang diketuai Baru mengambil keputusan membatalkan konvensyen tersebut berikutan rasa tidak puas hati dengan cara kepemimpinan parti menyelesaikan isu jemputan perasmian Kongres Nasional parti Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Isu itu menjadi menjadi kontroversi susulan pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden PKR,Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, seterusnya digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri,Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataannya memaklumkan konvensyen berkenaan akan diteruskan memandangkan ia sudah diputuskan dalam mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR. – MalaysiaGazette