Home Nasional IPCMC ditangguh, beri masa pihak berwajib beri pandangan

IPCMC ditangguh, beri masa pihak berwajib beri pandangan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong bercakap pada sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 03 DECEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberikan alasan pihaknya memerlukan lebih masa dan terpaksa menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Ia  bagi memberikan ruang kepada pihak berwajib untuk memberikan pandangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata penangguhan bacaan kedua dan ketiga itu dilihat mampu untuk memberikan masa kepada mana-mana pihak untuk memberikan pandangan masing-masing.

“(Penangguhan RUU IPCMC) Untuk membenarkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memberikan lebih banyak pandangan. Ia hanya tiga bulan dari sekarang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dewan Rakyat hari ini menyaksikan RUU IPCMC ditangguhkan kali kedua hari ini setelah bacaan kali pertama pada Julai lalu.

Menurut Vui Keong lagi, kerajaan mendapat terdapat keperluan untuk memperhalusi RUU ini dan tubuhkan peraturan-peraturan berkaitan dengan perjalanan prosiding selari dengan peraturan- peraturan pegawai awam yang sediada terpakai oleh PDRM.

“Perkara ini penting bagi memudahkan pelaksanaan akta ini bila diluluskan kelak.

“Hal ini kerana ada isu berbangkit tentang prosiding tatatertib dan salah-laku kecil berhubung isu pemantauan 20 agensi,” jelas beliau lagi.

RUU IPCMC pernah dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat pada Oktober lalu.

Pindaan itu bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan polis.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang, Ramkarpal Singh berkata beliau hanya maklum akan penangguhan itu pagi tadi.

“Saya cuma maklum pagi tadi. Setakat saya tahu, tugas saya hanya untuk bawa laporan tersebut ke Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Ramkarpal dilaporkan akan mencadangkan usul Laporan Jawatankuasa Pilihan RUU IPCMC pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. -MalaysiaGazette