Home Sukan Syed Saddiq berterima kasih tindakan pantas tukar Jalur Gemilang

Syed Saddiq berterima kasih tindakan pantas tukar Jalur Gemilang

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertindak pantas menukar Jalur Gemilang.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merujuk kepada insiden bendera Malaysia yang tersalah cetak semasa Sukan SEA di Manila baru-baru ini.

“Di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak MSN kerana tindakan pantas menukar Jalur Gemilang sebelum bermula majlis penyampaian pingat emas melibatkan atlet wushu negara, Loh Choon How.

“Ini membuktikan pemimpin negara kita sangat proaktif dan segera menyelesaikan isu sebelum ia menjadi masalah besar,” katanya di Parlimen hari ini.

Beberapa hari lepas, majlis penyampaian pingat sebelum itu tertangguh hampir 20 minit, selepas kontinjen negara bersama Chef-de-mission (CDM) Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyedari bendera yang dibawa keluar penganjur tersalah cetak dan mengarahkan penukaran dibuat.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya melalui MSN serta Institut Sukan Negara (ISN) sudah bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang kemungkinan melibatkan kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Filipina.

Menurutnya, beberapa masalah yang timbul di temasya berkenaan termasuk dari segi makanan halal, pengangkutan dan lokasi temasya telah diselesaikan pihaknya.

“Sebagai contoh mengenai pemakanan khususnya masalah makanan halal yang kurang di sana (Filipina) kontinjen kita ‘diselamatkan’ dengan bantuan pek makanan Brahim’s. Kita sudah bawa 500 ke 100,000 bungkusan makanan Brahim khususnya jika masalah makanan halal ini berterusan.

“Pagi ini saya dapat maklum balas dari pihak kontinjen bahawa masalah makanan halal ini sedang diselesaikan dan keadaan dilaporkan jauh lebih baik berbanding tiga hari lepas.

“Masalah berkaitan pengangkutan juga sedang diselesaikan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (Pas) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah dihadapi kontinjen negara termasuk soal kekurangan makanan halal.

Syed Saddiq berkata, wakil pasukan Malaysia juga telah menyalurkan pandangan berkenaan masalah yang dihadapi atlet negara kepada pihak penganjur temasya sukan tersebut menerusi saluran rasmi.

Beliau turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kontinjen negara setakat ini berjaya meraih 11 pingat emas.

Sukan SEA ke-30 di Filipina menyaksikan penyertaan lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste dalam 56 jenis sukan pada temasya itu yang akan berakhir pada 11 Disember ini.- MalaysiaGazette