Home Nasional Suhakam kecewa IPCMC ditangguh lagi

Suhakam kecewa IPCMC ditangguh lagi

Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan rasa kecewa apabila bacaan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 ditangguhkan di Parlimen tanpa memberikan sebab sewajarnya.

Menurut Suhakam, draf kelulusan RUU terbabit sudah terlalu lama ditangguhkan susulan penubuhan IPCMC pertama kali disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk meningkatkan operasi dan pengurusan PDRM pada 2005.

“Suhakam telah membuat syor-syor berkenaan dengan kandungan RUU dan mengikuti perkembangannya dengan teliti.

“IPCMC penting bagi menambah baik kebertanggungjawaban dalam kalangan polis dan menyediakan sistem semak imbang sebagai mekanisma pengawasan baginya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dewan Rakyat semalam menangguhkan bacaan kedua dan ketiga RUU IPCMC ke sidang Parkimen seterusnya pada Mac depan bagi mendapatkan lebih banyak pandangan pihak yang terbabit.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew View Keong, RUU itu akan dibaca sekali lagi dalam persidangan Dewan Rakyat pada Mac 2020 selepas mengambil maklum semua cadangan dan kritikan daripada semua pihak.

Suhakam juga berharap agar syor-syor badan itu dimasukkan ke dalam RUU IPCMC dan tiada lagi penangguhan akan berlaku dalam meluluskan RUU ini.

“Ia juga seharusnya menyediakan perlindungan terhadap salah laku polis dan salah guna kuasa, terutamanya dalam kes-kes yang disyaki melibatkan penyeksaan, kematian dalam tahanan dan kehilangan paksa,” katanya badan itu lagi. – MalaysiaGazette