Home Utama Malaysia akan pastikan APEC 2020 berjaya

Malaysia akan pastikan APEC 2020 berjaya

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (kiri) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Yb Dr. Ong Kian Ming (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran APEC 2020 di Cyberview Resort, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2019

CYBERJAYA- Malaysia akan memastikan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC 2020) berjaya dan semua rakyat mendapat manfaat daripada perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya melibatkan pertikaian polisi di antara negara-negara.

Tambahan pula, APEC 2020 merupakan acara penting kerana berakhirnya Pelan Bogor yang dilancarkan pada 1994.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bangga melihat Malaysia dipilih sekali lagi sebagai penganjur selepas 22 tahun, mahu setiap ekonomi APEC menghayati falsafah Kemakmuran Bersama.

Disebabkan itu, katanya, Malaysia telah memilih tema “Mengoptimumkan Potensi Insan Ke arah Kemakmuran Bersama Pada Masa Hadapan.

“Sudah tiba masanya kesemua ekonomi yang menganggotai APEC mempertimbangkan untuk menghayati falsafah tersebut dan merangkumkannya ke dalam model ekonomi semasa.

“Dengan menambah baik kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan membolehkan mereka hidup dalam persekitaran yang aman dan makmur menjadikan APEC lebih mapan dan relevan sebagai sebuah kumpulan dalam jangka masa panjang,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian APEC 2020 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bergambar bersama delegasi-delegasi pada Majlis Pelancaran APEC 2020 di Cyberview Resort, Cyberjaya. foto NOOREEZA HASHIM, 04 DISEMBER 2019

Tambah Dr. Mahathir, setiap negara perlu memberi makna kepada usaha pembangunan ekonomi masing-masing di samping terus bekerjasama ke arah berkongsi manfaat, sama ada daripada syarikat besar mahupun perusahaan kecil dan sederhana yang seterusnya melimpahkan kemakmuran tersebut kepada rakyat.

“APEC berada pada kedudukan yang tepat untuk mengguna pakai kekuatan yang kita ada secara sukarela, membuat keputusan secara konsensus tanpa perlu terikat dan menyokong hasil yang lebih baik dalam arena perdagangan dan pelaburan global.

Dalam sidang media selepas itu, Perdana Menteri menjelaskan sebab Malaysia menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan diri untuk menjadi penganjur Sidang Kemuncak APEC 2019 di negara berkenaan pada Januari depan.

Katanya, mesyuarat tersebut adalah tidak perlu kerana walaupun Chile terpaksa membatalkan acara tersebut di saat-saat akhir, namun negara berkenaan telah berjaya menjadi penganjur terbaik sepanjang APEC 2019 berlangsung selama setahun.

“Kami berpendapat ianya tidak perlu dan disebabkan itu Malaysia dan hampir semua negara lain menolak jemputan AS.

“Walaupun Chile terpaksa membatalkan Sidang Kemuncak tersebut tetapi negara berkenaan telah menjadi penganjur yang baik sepanjang setahun penganjuran APEC 2019.

“Tiada negara yang mampu melakukan sebaik Chile,” katanya.-MalaysiaGazette