KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat terhadap penulis blog, Raja Petra Kamaruddin atas tuduhan memfitnah Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Raja Petra telah memfitnah Chin Tong menerusi tulisannya bertajuk ‘The Fake Ashes of Chin Peng’ yang disiarkan di laman web Malaysia Today, semalam.
Menurut laporan itu, Raja Petra menuduh Chin Tong merupakan individu yang mencetuskan idea untuk membawa masuk abu mayat Chin Peng sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, bulan lalu.
“Untuk rekod, YB Liew tidak pernah membuat sebarang komen tentang abu mayat Chin Peng.
“Fitnah ini tidak lain bertujuan untuk mengalihkan tumpuan umum daripada isu-isu utama minggu ini, termasuklah pembentangan Kertas Putih Pertahanan serta perbicaraan kes-kes salah guna kuasa melibatkan dua bekas menteri pertahanan di mahkamah,” kata kenyataan itu.
Lantaran itu, tambah kenyataan itu lagi, masyarakat umum dan anggota tentera diseru untuk sentiasa mengutamakan saluran-saluran media yang mempunyai kredibiliti dan menjauhi sumber-sumber yang mencari sesuap nasi dengan mengilang fitnah berita-berita palsu demi mendapatkan perhatian dan capaian supaya mendapat untung melalui pengiklanan. – MalaysiaGazette