KUALA LUMPUR – Seramai 238 orang warga asing ditahan dalam satu operasi khas yang dilakukan selama dua hari oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.
Operasi tersebut dibuat bagi memeriksa pemandu warga asing yang mempunyai pas sah supaya tidak melanggar syarat untuk membawa kenderaan perdagangan.
“Pemeriksaan turut dijalankan terhadap warga asing di lokasi sekatan jalan raya bagi memastikan mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan sah untuk berada di dalam Malaysia,” kata JIM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut JIM lagi, operasi turut mensasarkan pemandu warga asing yang membawa kenderaan perdagangan dan melanggar pas imigresen dengan tinggal lebih masa atau tinggal tanpa sebarang pas sah.
Ujarnya, kebanyakan yang ditahan melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen iaitu tinggal lebih masa dan tinggal tanpa pas sah. – MalaysiaGazette