Home Politik UMNO mesti bangkit jadi nakhoda terajui Malaysia

UMNO mesti bangkit jadi nakhoda terajui Malaysia

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Perasmian Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan UMNO mengajak semua perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bersama melakukan tindakan paling radikal bagi mengembalikan parti itu ke peranannya yang sebenar.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, setelah 18 bulan tersungkur dari puncak kekuasaan, sudah sampai masanya semua sayap parti bangkit menjadi nakhoda utama bahtera bernama Malaysia.

UMNO, katanya, tidak boleh terus susut sebaliknya mesti mengemudi bahtera Malaysia ini kerana ia adalah tanggungjawab mereka.

“Jika layarnya koyak atau dindingnya reput atau lantainya bocor, kita wajib membaikinya dengan kudrat yang kuat, pemikiran terbaik, sikap dan niat yang betul.

“Kita perlu lakukan secara bersungguh-sungguh, tanpa jemu meskipun kita tidak lagi membentuk kerajaan seusai PRU yang lepas.

“Amat mustahil, jika kita rela dan sanggup membiarkan bahtera ini dirampas dan dibiarkan rosak begitu sahaja,” katanya berucap merasmikan persidangan serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

Mohamad turut mengingatkan ahli parti, bahawa UMNO belum tewas selagi mereka mahu bangkit kerana tewas yang sebenarnya apabila mereka berputus asa dan enggan bangun kembali setelah tersungkur.

Justeru, beliau mengajak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO bekerja keras untuk parti dan negara kerana perjuangan serta kerja keras suatu bangsa adalah jalan yang mengangkat darjat bangsanya ke tingkat lebih tinggi dan mulia.

“Semoga dengan kerja keras ini, bahtera yang bernama Malaysia akan sama-sama kita perbaiki demi kebaikan semua penumpangnya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, selepas lebih 18 bulan menjadi pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bukan cabaran sebenar UMNO, tetapi untuk menumbangkan parti itu tidak mudah.

“Kita boleh lakukan dengan strategi mantap dan pendekatan yang betul, malah, kita sudah menumbangkan mereka sedikit demi sedikit dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highland, DUN Semenyih, DUN Rantau dan terbaru Parlimen Tanjung Piai. Insya-Allah akan datang (PRK Parlimen) Kimanis, Sabah.

“Bagaimanapun, cabaran sebenar UMNO yang lebih benar, lebih besar dan maha hebat adalah mendepani sifat politik itu sendiri, terutama pada zaman globalisasi yang tidak menentu ini,” katanya.

Beliau berkata, dunia dan fenomena politik hari ini tidak boleh dijangka, malah Malaysia dan dunia sudah tidak seperti dahulu apabila politik abad ke-21 ini begitu rumit, tidak menentu dan pelbagai.

“Kita tidak mungkin tahu cabaran politik yang bagaimana bakal muncul dalam tahun, malah bulan yang mendatang ini,” katanya.
Kata Mohamad, sebagai sebuah parti politik, UMNO tidak mempunyai pilihan, melainkan mesti melakukan penyusunan semula yang serius dan radikal.

Penyelarasan semula itu, kata beliau, harus memastikan amalan politik UMNO, bukan sahaja boleh menangani kebimbangan rakyat, tetapi harus seiring dengan perubahan cara hidup, budaya kerja dan pemikiran manusia di zaman gangguan umur.

“Persoalannya, bagaimana harus UMNO melakukan semua ini? Saya percaya kita boleh melakukannya bersama seperti mesti mempunyai ketangkasan untuk belajar, harus tangkas, bingkas dan lekas belajar perkara baharu, memahaminya dan mempraktikkannya,” katanya. – MalaysiaGazette