Home Politik Puteri UMNO tidak mahu pintu belakang

Puteri UMNO tidak mahu pintu belakang

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berucap pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO Malaysia 2019 di Dewan Tun Dr.Ismail, PWTC, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 05 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Puteri UMNO memberi amaran agar ahli-ahlinya tidak terlibat dalam gerakan menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Datuk Zahida Zarik Khan berkata, UMNO tidak perlu bersekongkol dengan mana-mana gabungan parti dalam Pakatan Harapan, sebaliknya akan menentang seteru politik dengan cara terhormat pada pilihan raya akan datang.

“Tidak ada pintu belakang. Jangan pilih pintu belakang untuk berkuasa. Kita tak mahu pintu belakang.

Say no to back door. Jalan kita ialah jalan ke depan. Kita hadap dan kita lawan mereka dalam pilihan raya yang akan datang.

“Biar pun kita Puteri, kita mesti dilihat lebih berani daripada anak jantan. Tidak ada gunanya jadi jantan tetapi lebih takut berbanding Puteri. Kita sudah menang banyak PRK, apa nak takut. Dan Insya Allah kita akan menang pilihan raya pula,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Puteri.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua ahli-ahli Puteri UMNO agar tidak membelakangkan parti dengan mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin Pakatan Harapan.

“Cukup-cukuplah berunding di waktu malam! Cukup-cukuplah membenarkan diri kita diusung ke sana sini tanpa pengetahuan parti!

“Cukup-cukuplah bermain mata dengan orang yang cuba memusnahkan parti kita! Cukup-cukuplah berpelukan dengan pihak yang rakyat pun sudah benci!,” katanya.

Pada 18 November yang lalu sekumpulan Ahli Parlimen UMNO mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman rasminya.

Namun Azmin dan beberapa Ahli Parlimen yang terlibat dengan pertemuan tersebut menjelaskan tidak tidak membincangkan urusan politik sebaliknya memfokuskan kepada urusan peruntukan kawasan wakil rakyat yang terlibat.- MalaysiaGazette

+ posts