Home Politik Pemimpin jangan jadikan jawatan hak seumur hidup

Pemimpin jangan jadikan jawatan hak seumur hidup

AJK Wanita UMNO Bahagian Kangar, Rosmuna Ibrahim berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2019 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Para pemimpin UMNO diingatkan jangan tamak kuasa dan memegang jawatan terlalu lama kerana kepentingan diri.

Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Kangar,  Rosmuna Ibrahim berkata, segelintir pemimpin yang bersikap sedemikian perlu berubah demi memberi laluan kepada generasi muda dalam parti.

“Pemimpin kena sedar jangan jadikan jawatan hak seumur hidup, jangan jadikan ia harta keturunan sampai masa lepaskan bagi kepada pelapis,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad pada Persidangan Wanita UMNO di sini hari ini.

Rosmuna juga mengambil kesempatan bercakap di pentas Perhimpunan Agung Wanita dengan menegur sikap ego segelintir pemimpin masih enggan mendengar suara akar umbi meskipun kini mereka hanya parti pembangkang.

Sepatutnya menurut beliau, pemimpin atasan sehinggalah peringkat akar umbi berkerjasama membangunkan UMNO agar berjaya sebagai parti pembangkang yang baik seterusnya meraih undi untuk menang pada pilihan raya akan datang.

“Sedarlah kita pembangkang di peringkat negara kita kena jadi  pembangkang yang hebat sehingga (Pilihan Raya Umum Ke-15) PRU-15 agar pengundi memahami hala tuju politik tidak perlu berlagak mcm pemerintah beri arahan sana sini kita kena insaf dan sedar kita kalah, kalah kalah.

“Sedih memang sedih maka menangis sekejap selepas itu kita wajar bangkit. Dengar suara akar umbi, siapa nak buat kerja buang ego,” tambahnya.- MalaysiaGazette