KUALA LUMPUR – ‘Ayah, tenanglah di sana. Rehatlah selama-lamanya. Cukup kesakitan yang ayah tanggung selama ini.’
Begitu luahan Intan Najihah, 22, anak tunggal Allahyarham Datuk Nassier Wahab, 57, yang dikongsi di Twitter miliknya.
Intan Najihah turut meluahkan rasa rindu kepada ayah dan kesanggupannya berbuat apa sahaja asalkan dapat berbicara buat kali terakhir dengannya.
“Saya sanggup buat apa sahaja asalkan dapat berbual, dipeluk dan mendengar kata-kata perangsang daripada ayah buat kali terakhir.
“Kembalilah ayah buat seketika… Kesakitan ini tak tertahan lagi,” luahnya.
Intan Najihah adalah puteri tunggal hasil perkongsian hidup Allahyarham dengan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pukul 12.45 tengah malam tadi, akibat kanser rahang.
Intan Najihah turut meluahkan kasih sayangnya terhadap ayah dalam coretan itu.
“Suatu masa nanti, kita akan ketemu lagi…Ijah sayang ayah,” katanya.
Nassier yang memulakan karier sejak era 1980-an berasal dari Pulau Pinang dan aktif menyanyi serta berlakon.
Antara lagu popular Allahyarham adalah Sekali Aku Jatuh Cinta, Undangan Rindu dan Memori Cinta Luka.
Pada 1988, Nassier atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Abd. Wahab merakamkan lagu duet Susah Senang Kita Bersama dengan Ramlah Ram.
Nassier turut menyertai musim kedua Gegar Vaganza (GV) hingga ke pentas akhir pada 2015 dan mendapat tempat keempat.
Pada 1 Jun lalu, arwah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kirinya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: