KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerusi Muafakat Nasional tidak sekali-kali mengimpikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang walaupun peluang itu terbuka luas.
Sebaliknya, menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mereka tetap memilih pintu hadapan untuk membina kerajaan sendiri mengikut lunas demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, sementara bersiap menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), banyak perkara perlu diselaraskan dalam Muafakat Nasional.
“Ujian getir bagi Muafakat Nasional hadir dalam bentuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai. Ia memberi banyak pengajaran kepada kita serta menjadi kayu pengukur kepada sokongan masyarakat Cina dan bukan Melayu kepada BN dan Muafakat Nasional.
“Kemenangan BN dengan majoriti besar 15,086 undi bukti kesepakatan dalam Muafakat Nasional melangkaui bangsa dan fahaman politik.
“UMNO, Pas, MCA, MIC, Friends of BN, Veteran UMNO, Mubarak, NGO, malah tokoh lama dan sukarelawan telah membuktikan kesepakatan dalam bentuk gerak kerja yang menatijahkan kemenangan yang disokong oleh rakyat,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Kata beliau, kesepakatan itu membuktikan UMNO dan Pas meraikan kepelbagaian pendapat, sekali gus menafikan tohmahan bahawa gabungan dua parti Melayu terbesar itu rasis dengan label Taliban.
Kemenangan itu juga, kata Ahmad Zahid, membuktikan Muafakat Nasional semakin diterima rakyat sebagai satu naungan dan naratif politik baharu.
“Adalah menjadi cabaran besar kepada BN dan Muafakat Nasional untuk mengekalkan momentum kemenangan ini dan harus diingat, untuk memperoleh kemenangan adalah sukar, tetapi untuk mempertahankan kemenangan itu adalah jauh lebih sukar,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan parti lawan kononnya UMNO adalah parti yang rigid dan rasis.
Katanya, UMNO tidak rasis, apatah lagi rigid sebagaimana politik huyung hayang dan songsang parti lawan.
“Kita kini ke arah perubahan kepada politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli.
“Politik kita berasaskan kepada ketegasan apabila hak kita dicabar, apabila keamanan kita digugat, apabila keharmonian kita dirobek, apabila kedaulatan kita dipersenda, sama-sama kita bangkit mempertahankannya.
“Ingatlah, tunduk kepala bukan untuk dipijak. Berlembut, bukan untuk diperbodohkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, transformasi UMNO kini sedang berjalan seiring dengan tuntutan politik abad ke-21, yang mengambil pengajaran dari nasib parti politik dunia yang dilabelkan sebagai “Grand Old Party”.
Ada yang tersungkur dan tewas, tetapi bangkit kembali dan demi kelangsungan itu UMNO perlu bangunkan naratif politik baharu agar terus relevan di persada politik tanah air dan antarabangsa.
Kata Ahmad Zahid, tarikh 14 September 2019 menjadi detik bersejarah apabila Piagam Muafakat Nasional ditandatangani, walaupun impian murni itu mungkin tergendala oleh pendekatan politik yang agak rigid sebelum ini.
Namun, ujarnya atas ketentuan Allah akhirnya terpaterilah Muafakat Nasional, iaitu tawaran baharu kepada rakyat dan bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah difikirkan sebelum ini.
“Bersyukur kerana impian besar kita untuk melihat penyatuan orang Melayu telah tercapai tanpa mengenepikan bangsa lain,” katanya. – MalaysiaGazette