Home Nasional Tajuddin tidak minta maaf ‘betu-betul’, kata Rayer

Tajuddin tidak minta maaf ‘betu-betul’, kata Rayer

Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Isu tanda di dahi ‘vibuthi’ yang menjadi kepercayaan masyarakat Hindu terus menjadi perdebatan dengan kenyataan terbaru oleh Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer yang masih menuntut permohonan maaf secara betul-betul’.

Rayer dalam satu kenyataan sebentar tadi, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman perlu tampil memohon maaf secara ikhlas kepada keseluruhan masyarakat Hindu susulan perbuatan biadapnya ketika persidangan Parlimen kelmarin.

Jelas Rayer, Tajuddin hanya sekadar meminta maaf secara ‘berlawak’ sahaja dalam Dewan Rakyat dan bukanlah seperti yang diharapkan oleh masyarakat umum pada masa ini.

“Saya ingin rujuk balik kepada kenyataan Tajuddin kononnya beliau sudah meminta maaf kepada semua Hindu di negara ini. Saya juga ingin rujuk kepada kenyataan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi tentang perkara sama.

“Ingin saya tegaskan, sehingga saat ini, Tajuddin belum lagi tampil memohon maaf kepada keseluruhan masyarakat Hindu di negara ini.

“Beliau hanya mohon maaf apabila saya secara konsisten mendesaknya meminta beliau menarik balik kenyataan yang dikeluarkan olehnya kepada saya pada hari itu.

“Hari ini, saya minta Tajuddin jadi lelaki sebenar (gentleman) dan tampil mohon maaf betul-betul,” katanya sebentar tadi.

Tajudddin digantung dua hari gara-gara soalan adakah abu Chin Peng di dahi Rayer

Selasa lepas, isu abu mayat Chin Peng mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat hingga Tajuddin dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (PH) diarah keluar dan digantung menghadiri persidangan selama dua hari, bermula semalam.

Tajuddin ditegur MIC isu abu di dahi

Dewan mula panas ketika Rayer mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sama ada Kementerian Pendidikan bersetuju memasukkan tokoh politik PH seperti Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal singh dalam silibus sejarah.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang kemudian menepuk meja sambil berkata `komunis! komunis! komunis’, sebelum Tajuddin mencelah bertanya Rayer sama ada abu di dahinya adalah abu mayat Chin Peng yang juga bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Ia menyebabkan Dewan kecoh dengan sejumlah Ahli Parlimen PH mendesak kenyataan itu ditarik balik, sebelum Tajuddin bersetuju menarik balik perkataan berhubung `abu mayat Chin Peng’ dengan syarat Rayer juga menarik balik tuduhan BN parti rasis. Rayer kemudian bersetuju berbuat demikian.

Pemimpin DAP juga mendakwa rata-rata masyarakat India khasnya Hindu di negara pada masa ini begitu marah, sedih, kecewa dan terluka kerana perbuataan Tajuddin yang dianggap sudah melangkaui batas.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang pada awalnya meminta masyarakat umum untuk tidak memperbesarkan isu ini apatah lagi Tajuddin sudah meminta maaf.

Namun kemudian Waytha bertukar nada apabila semalam mendesak Tajuddin meminta maaf pula. –MalaysiaGazette

Abu dahi Rayer: Biarlah, Tajuddin sudah minta maaf

Berapa kali nak hukum untuk satu kesalahan Tajuddin?