AYER KEROH – Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sebuah parti tidak boleh selamanya hidup dalam konflik dan pergolakan semata-mata.
Jelasnya, kapal sehebat manapun akan musnah sekiranya berterusan dibadai ombak tanpa usaha untuk berlabuh di pengkalan.
“Kita perlu mencari titik pertemuan itu untuk berlabuh dan merancang agenda besar membela rakyat.
“Berhentilah daripada bergolak dan bergeseran sesama sendiri kerana ianya tidak menguntungkan sesiapa,” katanya dalam ucapan penutup Kongres Bersama antara Wanita dan AMK, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Dalam pada itu, Wan Azizah berkata sekiranya pemimpin tidak berdisiplin dan gagal menunaikan amanah yang diberi oleh ahli parti, maka rakyat boleh menolak mereka sebagai pemimpin.
“Hebat mana pun kita, besar mana pun pangkat kita, gagah mana pun kedudukan kita, ingat semua itu tidak akan kekal bahkan akan hilang bila sampai masanya.
“Pesan ini juga untuk diri saya sendiri bukan hanya kepada pimpinan yang ada di atas sini dan di bawah sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette