SHAH ALAM – Idea kereta terbang diperkenalkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, antara program Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang paling tidak berguna kepada rakyat.
Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) dari Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly menegaskan, idea tersebut turut memalukan penyokong dan ahli PH apabila ia menjadi bahan sindiran.
“Apa yang berlaku kami di bawah malu muka untuk pertahankan kereta terbang! Antara program yang paling tak guna dilakukan oleh kerajaan! Malu muka kita nak pertahankan isu kereta terbang pada rakyat!
“Selain itu rakyat terpinga-pinga apakah struktur program itu. Sekiranya berterusan saya rasa kita tidak lama sebagai kerajaan,” katanya berucap membahaskan Pidato Presiden Amanah pada Konvensyen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fadzli juga melahirkan rasa kesal apabila Kerajaan PH ghairah untuk melakukan perubahan termasuk ratifikasi ICERD, pembangunan Kampung Bharu, tulisan Jawi dan pengundi muda 18 tahun.
“Semua itu belum tentu untungnya tetapi kita telah menciptakan satu perubahan tidak disangka yang menyebabkan perang yang tidak dijangka berlaku kepada Kerajaan PH.
“Sepatutnya kerajaan hari ini mengekalkan kestabilan dan mengambil langkah-langkah populis,” katanya.
Mohd Fadzli juga menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) pada Januari 2020 kerana idea itu hanya menimbulkan kemarahan rakyat.
“Harga dinaikkan satu sen seminggu hingga mencapai harga pasaran. Alasan diberikan untuk pastikan harga barangan tidak naik.
“Apa cerita ni? Saya minta bila kita berhadapan kemarahan rakyat ini, tolong tangguhkan sementara PSP ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan PH diingatkan tidak melupakan jasa golongan M40 dan B20 yang memenangkan mereka pada PRU14 lalu.
“Kemenangan PH antaranya disumbangkan oleh golongan M40 dan B20.
“Saya faham kerajaan obses bantu B40 tapi jangan hukum M40 B20. PSP dan cukai digital adalah contoh hukuman kepada M40 dan B20,” katanya lagi. – MalaysiaGazette