Home Nasional Datuk saudara Yusoff Rawther beritahu jangan layan fitnah

Datuk saudara Yusoff Rawther beritahu jangan layan fitnah

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Datuk saudara Muhammad Yusoff Rawther menasihatkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melayan fitnah yang dilemparkan oleh cucu saudaranya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa nasihat itu disampaikan oleh Mohideen Abdul Kadir dalam satu pertemuan dengannya.

“Saya tidak rasa apa-apa, saya jumpa bapa saudara Mohamad Ali dan dia kata jangan layan, ini fitnah,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Nasional PKR, di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), hari ini.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bapa kepada Yusoff, Muhammed Ali Mohammed Idris yang menjelaskan anaknya ada memaklumkan kepada keluarganya tentang insiden ‘salah laku seksual’ yang didakwa berlaku antara kedua-dua mereka.

Anwar dalam pada itu berkata, pihaknya tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap Yusoff dan tindakan undang-undang terhadapnya juga masih berjalan.

“Akan tarik balik laporan polis? Tidak. Tindakan (terhadap Yusoff) masih berjalan,” katanya lagi.

Muhammed Ali semalam menafikan dakwaan Mohideen bahawa Yusoff tidak mendedahkan insiden itu kepada keluarganya.

Beliau juga berkata perkara itu hanya dimaklumkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja.

Pada Rabu lalu, Yusoff yang merupakan bekas pekerja Anwar mendakwa dirinya menjadi mangsa perbuatan ‘tidak senonoh’ di kediaman pemimpin PKR itu.

Yusoff mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 Oktober lalu, namun dinafikan oleh pihak Anwar yang mendakwa beliau sedang berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang diadakan ketika itu.- MalaysiaGazette