KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini menerima ijazah doktor kehormat dalam kewangan Islam dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
Menurut INCEIF, anugerah itu – doktor kehormat pertama yang diterima oleh Sultan Nazrin dari universiti Malaysia – mengiktiraf sumbangan baginda terhadap pertumbuhan dan perkembangan kewangan Islam dalam bidang kewangan domestik dan global.
“Sultan Nazrin diperakui sebagai antara pemimpin intelektual Malaysia dan suara masyarakat Islam yang sederhana dan progresif,” katanya dalam kenyataan.
Baginda menerima ijazah kehormat itu daripada penasihat INCEIF Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada majlis yang berlangsung sempena konvokesyen ke-11 INCEIF di sini hari ini.
Sultan Nazrin lulus dengan ijazah sarjana muda dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi dari Worcester College, Oxford, dan memegang ijazah kedoktoran dalam ekonomi politik dan kerajaan, dan ijazah sarjana pentadbiran awam dari Harvard University.
Dalam bidang akademik, sumbangan baginda termasuk khidmat sebagai Canselor Universiti Malaya, menghadiri persidangan dan memberi kuliah umum mengenai pelbagai isu topikal.
Seramai 137 graduan dari lebih 70 negara menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen INCEIF hari ini, menjadikan bilangan alumni INCEIF seramai 1,881 orang. – MalaysiaGazette