Home Politik Kritikan para perwakilan perkara biasa – Shamsul Iskandar

Kritikan para perwakilan perkara biasa – Shamsul Iskandar

Ketua Penerangan PKR, Sahmsul Iskandar bercakap kepada media pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Tindakan para perwakilan yang dipercayai berada dalam kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar beramai-ramai adalah satu tindakan yang tidak realistik.

Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, teguran yang dilemparkan kepada kepimpinan parti adalah perkara biasa.

Para perwakilan pastinya akan mengkritik parti kerana PKR adalah sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Putrajaya.

“Soal beberapa teguran dalam kongres itu perkara lumrah. Takkan apabila kita jadi kerajaan, kita nak dengar pujian dan sanjungan perwakilan.

“Kritikan terhadap kita yang menjawat jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri biasa.

“Presiden pun tegur agar perbaiki ekonomi rakyat bela orang lemah, jangan rasuah dan seleweng serta jaga orang kaya, ini teguran biasa,” katanya yang menjawab mengenai tindakan para perwakilan yang keluar beramai-ramai petang tadi.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, tindakan itu akan dibawa kepada pengetahuan Jawatankuasa Disiplin PKR untuk tindakan lanjut.

Ini kerana, parti sedang menjalankan kongres nasional dan sepatutnya perwakilan menghormati perjalanan kongres itu.

“Kita tak tahu apa sebab mereka. Parti akan bawa kepada Jawatankuasa Disiplin untuk diteliti. Kita masih berkongres dan perwakilan ada hampir 3,000.

“Esok akan ada banyak perkara disimpulkan,” katanya lagi.

Sekitar jam 3 petang tadi, ratusan perwakilan daripada kem Azmin bertindak keluar daripada dewan perbahasan kerana tidak puas hati dengan perbahasan para perwakilan yang disifatkan bertindak menyerang timbalan presiden parti itu. -MalaysiaGazette