Home Politik Amanah gagal juarai isu Islam walaupun Mujahid jadi menteri agama

Amanah gagal juarai isu Islam walaupun Mujahid jadi menteri agama

Nasir Zakaria
Perwakilan dari Negeri Kedah, Nasir Zakaria berucap semasa sesi perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak boleh ambil mudah terhadap langkah UMNO meminda Perlembagaan parti Melayu itu dengan meletakkan kedudukan Islam mendahului bangsa dan negara.

Perwakilan Kedah, Nasir Zakaria berkata, ini kerana Amanah masih gagal menjuarai isu Islam berbanding Pas yang berjaya mendorong rakan sekutunya, untuk meminda Perlembagaan dalam Perhimpunan Agung UMNO, semalam.

“Isu agama kita gagal juarai, Pas berada di hadapan, kelmarin dalam Perhimpunan Agung Umno mereka meluluskan satu pindaan Perlembagaan meletakkan Islam di hadapan, bangsa dan negara.

“Ini cabaran baru bagi Amanah, mereka luluskan sebulat suara. Kita jangan ambil mudah.

“Kita ada Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menerajui kementerian agama, tapi kita masih belum berada di hadapan menjuarai betul-betul, kena lihat dan perbaiki pada masa akan datang.

“Jangan kita sibuk soal urusan kerajaan sahaja, turun bersama masyarakat dan turun bersama ahli,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden Amanah pada Konvensyen Nasional 2019, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menteri-menteri Amanah perlu menyemak semula pelantikan pegawai-pegawainya yang masih tidak membawa imej pemimpin dan perjuangan parti Islam itu,

“Kementerian-kementerian kena semak balik pelantikan Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Politik yang tidak membawa imej menteri dan parti itu.

“Kita jangan ambil mudah, kita nak tanya dalam perhimpunan pada hari ini berapa ramai lantikan politik yang datang menjiwai semangat perjuangan Amanah.

“Bermula dari Kementerian Pertahanan sampai Kementerian Kesihatan, mereka sejauh mana mereka bawa imej parti dan presiden, ini satu syarat,” katanya.

Perwakilan Kedah itu turut membuat teguran terbuka kepada menteri Amanah yang masih tidak memanfaatkan sepenuhnya kementerian yang dikuasai parti itu untuk kepentingan rakyat.

“Kadang-kadang isu remeh-temeh kita bawa kepada rakyat, melibatkan isu rokok (larangan merokok di kedai makan), kita mendapat maklum balas yang sangat negatif daripada akar umbi tentang isu ini.

“Ketika rakyat beratur berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan hospital  kita bangkitkan isu ini,sebahagian daripada kita anggap ia tidak remeh.

“Kebanyakan rakyat, mahukan isu katil tak cukup, berdiri di wad kecemasan sebagai isu pokok yang perlu diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan kegagalan media rasmi, Amanah, Media Oren dalam menyebarkan maklumat kepada semua kawasan parti itu.

“Mingguan Amanah tapi sampai Padang Terap, tak ada, tidak sampai. Kita menegaskan Amanah juga perlu menguasai media sosial.

“Kita menang dulu tak bergantung kepada TV3 dan RTM, malah UMNO dan BN yang menggunakan RTM, TV3 mereka masih kalah.

“Maksudnya media sosial menjadi medan pertempuran di kalangan pengundi muda,” katanya.

Nasir turut menggesa lidah rasmi Amanah mengangkat pemimpin sendiri agar setaraf dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkasakan Media Oren untuk menonjolkan pimpinan kita supaya setara, walaupun kita kata kepimpinan kita kolektif dalam PH, kita amalkan kepimpinan kolektif.

“Tapi Dr Mahathir sebagai penerajunya tapi kita nak tonjolkan kepimpinan kita ini supaya setara dengan mereka.

“Jangan nampak Dr Mahathir sahaja, jangan nampak Anwar sahaja, kita nak angkat kepimpinan kita, Abang Mat kita supaya setara bercakap dalam konteks Islam dan isu-isu bersifat Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Jangan kena gam, simpan dalam tempayan perwakilan ni udah ler. Habis semua bos amanah dia lekuk. Perwakilan yang bawa suara akar umbi mcm ni la yg kita nak

Comments are closed.