Home Politik Mat Sabu sedia turun pangkat

Mat Sabu sedia turun pangkat

Mohamad Sabu
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar usul perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAIZI, 07 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Kedudukan Mohamad Sabu di tangga ketujuh dalam keputusan Pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 semalam tidak menghalang beliau untuk kekal sebagai presiden parti itu.

Mohamad yang memperoleh 681 undi bagaimanapun ‘terselamat’ apabila 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sebulat suara memilihnya untuk kekal menerajui parti Islam progresif itu dalam satu undian, malam semalam.

Walaupun Mohamad terselamat dalam undian itu, namun beliau akur dengan jumlah undi yang diperolehi itu dan sedia diturunkan pangkat.

“Saya bersedia untuk ke jawatan yang lebih bawah tapi mereka mahu mengekalkan,” katanya pada sidang media pada Konvensyen Nasional 2019, di sini, hari ini.

Dalam keputusan semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendapat undi paling banyak iaitu 786 undi.

Amanah
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar usul perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAIZI, 07 DISEMBER 2019

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar pula mendapat 780 undi, iaitu kedua tertinggi selepas Khalid dan ini diikuti oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan 765 undi.

Dalam sidang media sama, Mahfuz mengesahkan bahawa kesemua Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah semalam sebulat suara mengekalkan Mohamad sebagai presiden.

“Kami semua bersetuju mengekalkan beliau sebagai Presiden kerana beliau merupakan orang yang berpengalaman, banyak memberikan pengorbanan dan berjaya memimpin Amanah selama ini,” katanya.

Amanah
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar usul perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAIZI, 07 DISEMBER 2019

Sementara itu, Khalid pada sidang media sama menafikan Mohamad tidak mendapat undi popular pada pemilihan kali pertama Amanah itu semalam.

“Jumlah undi yang diperolehi (Mohamad) adalah satu jumlah yang agak popular melebihi 70 peratus. Ini bukan pemilihan Presiden, ianya adalah pemilihan untuk Jawatankuasa Pimpinan Nasional, itu sistem kita.

“Kalau ada pemilihan presiden, mungkin keputusannya akan berbeza, sebab itu anda tak boleh bandingkan satu sistem dengan satu sistem yang lain

“Sistem yang kita, lepas itu jawatankuasa pusat akan pilih presiden dan timbalan presiden dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette