Home Politik Desakan supaya Gobind letak jawatan masih ‘lembut’ – Mat Sabu

Desakan supaya Gobind letak jawatan masih ‘lembut’ – Mat Sabu

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media selepas selesai mendengar usul perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAIZI, 07 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menyifatkan desakan perwakilan parti agar Gobind Singh Deo mengosongkan kerusi Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini sebagai satu gesaan baik.

Mohamad berkata, desakan seperti itu merupakan sesuatu yang biasa dalam parti dan keputusan Pakatan Harapan (PH) akan menentukan mana-mana menteri jika cadangan itu diterima.

“Bagi saya itu biasa, itu lembut, kami dulu di bawah lagi keras,” katanya pada sidang media pada Konvensyen Nasional parti itu di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.

Beliau mengulas ucapan perbahasan perwakilan Sarawak, Andri Zulkarnaen hari ini yang mengkritik secara terbuka kegagalan Gobind mempromosikan kejayaan PH menunaikan manifesto PRU14 lalu melalui media perdana yang dikuasai oleh kerajaan.

BACA: Perwakilan Amanah gesa Gobind lepas jawatan menteri

Sementara itu, Pengarah Komunikasi, Khalid Abdul Samad menerusi sidang media sama berharap rakan parti komponen dalam PH termasuk Gobind tidak terasa hati dengan desakan itu.

“Kita nak ketengahkan jugak, Ini budaya dalam Amanah, itu tujuan kita adakan kita punya konvensyen, kita nak orang kritik kita.

“Harap kawan-kawan kita tak terasa, yang mana komen pasal Gobind ke apa,” katanya lagi.

Perwakilan Sarawak, Andri Zulkarnaen berkata, sudah sampai masanya kerajaan menggugurkan Gobind daripada jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana gagal mempromosikan kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto.

Katanya, kegagalan itu serius apatah lagi ahli Parlimen DAP itu gagal memanfaatkan media yang dikuasai kerajaan daripada serangan musuh.

“Kita mesti merombak kepimpinan kerajaan sedia ada dengan menukar menteri-menteri yang tidak berprestasi, menteri Amanah ada prestasi, itu parti lain, saya tak sebut menteri Amanah.

“Menteri yang tiada prestasi itu kena tukar, bukan kira parti mana, antara menteri yang patut ditukar ialah menteri komunikasi yang patut ditukar,” katanya. – MalaysiaGazette