Home Politik UMNO jangan seronok sangat bila tengok PH lemah

UMNO jangan seronok sangat bila tengok PH lemah

Wakil Negeri Perak, Jamilah Zakaria berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Gantang berharap tidak akan wujud puak-puak dalam parti itu menjelang pemilihan pada 2021 akan datang.

Jamilah Zakaria meramalkan Pakatan Harapan akan menggunakan pemilihan itu untuk melemahkan dan mencetuskan huru-hara dalam UMNO mengambil kira dua pemimpin gabungan tersebut iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berada dalam parti itu.

Justeru, UMNO perlu memperkukuhkan kedudukan lebih awal agar dapat menangkis apa juga cabaran kemungkinan termasuk menangani kewujudan pihak yang bakal memecah-belahkan barisan pemimpin.

Jamilah dari perwakilan Perak itu berseloroh dengan mengatakan puak-puak hanya akan akan menjadikan UMNO seperti PKR yang kecoh kerana pergaduhan semasa Kongres Nasional yang berlaku semalam.

“Anwar dan Tun orang UMNO, mereka tahu, kalaulah PRU berlaku selepas Pemilihan UMNO 2021, kita bersedia tak? Mereka tahu akal kita, kalau kita sudah lemah masa itu, ada banyak cah keting, jadi bersediakah kita menerima keterbukaan? Ini penting.

“Nak bertanding , bertandinglah jangan halang orang nak bertanding tidak mengapa. Tak payah pakai kartel pening kepala kalau pakai kartel, jadilah macam semalam puak yang bergaduh malam kelmarin itu, jangan ikut macam mereka malu kat orang,”katanya.

Meskipun kelihatannya parti lawan UMNO kini berhadapan dengan konflik dalaman masing-masing namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong itu menyeru agar UMNO tidak selesa dengan kelemahan Pakatan Harapan sebaliknya fokus memperkukuhkan  parti.

“Kita jangan seronok sangat mereka berpecah ,kejap lagi mereka bersatu jenuh kita sedangkan kita tak tahu lagi apa nak jadi pada kita,” katanya lagi.-MalaysiaGazette