KUALA LUMPUR- Raja berbasikal trek negara dan Asia, Azizulhasni Awang berjaya merangkul emas pada pada acara keirin di siri keempat Kejohanan Trek Dunia Piala UCI di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zealand, hari ini.
Jaguh berusia 31 tahun itu merekodkan masa pantas 9.853 saat untuk menewaskan dua bekas juara dunia dari Rusia, Alan Shane Perkins dan pelumba Australia, Matthew Glatzer yang masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa pada saingan akhir itu.
Azizul atau nama terkenal the PocketRocketman berada pada posisi kedua pada saringan pertama sebelum memenangi saingan separuh akhir dengan catatan masa 9.810 saat untuk mara ke pusingan akhir acara kegemarannya kali ini.
Dalam status Facebook peribadinya, Azizulhasni berkongsi reaksinya yang berbunyi:”Dah 18 kali saya kalah, tapi kali ke-19 ni saya kene menangg lah pulak (sudah menang). Kekuatan dia itu lain machemmm.
“Gurau okay guys, jangan serious, jangan marah.
“Saya sekarang di dalam bilik doping (pemenang memang akan kena ujian doping), cun pulak diorang replay video race tadi. So, here we are guys, another kualiti cetak rompak kedai Mek Amoi untuk tatapan korang semua. Ampunkan saya ya”.
Jaguh kelahiran Terengganu itu turut menyatakan beliau berjaya menyumbangkan emas untuk Malaysia kali ini.
“Emas… khusus untuk kamu, Malaysia. sangat bersyukur dan sangat terhutang budi atas peluang dan sokongan padu yang diberikan.Jalur Gemilang berkibar di New Zealand malam ini.
Rakyat Malaysia sila menyokong pasukan kita untuk acara esok dan minggu depan di Brisbane.,” ujarnya.
Kemenangan emas luar biasa selepas 10 tahun itu berjaya membuktikan dirinya masih berbisa dan dalam kedudukan terbaik untuk memburu emas pada Sukan terbesar dunia Olimpik Tokyo tahun depan.
Untuk rekod Olimpik 2016 di Rio, Azizulhasni hanya merangkul gangsa. – MalaysiaGazette