SHAH ALAM – Naratif perkauman yang sering dimainkan parti berasaskan kaum seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam bentuk surat layang masih tidak berubah sejak tahun 60-an.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bagaimanapun mendedahkan kaedah penyebaran khabar angin itu kini telah berubah menggunakan media sosial terutamanya aplikasi Whatsapp.
“Perbualan antara Lim Guan Eng dengan Lim Kit Siang merancang mengambil alih negara dan menjadikan Kristian agama negara antara contoh surat yang dibuat sejak saya darjah 6, 1966 sampai sekarang.
“Itu di antara disebar selalu. Itu sekarang dalam Whatsapp, saya dengar perbualan orang ini orang ini, kononnya nak ini, semua ini teknik khabar angin itu.
“Cara main isu perkauman itu tak berubah dari 60 tahun dulu sampai sekarang. Naratif perkauman itu serupa saja,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, Amanah tidak mempunyai dewan himpunan kepada bukan Islam dan Melayu, seperti mana yang diwujudkan dalam bekas partinya.
“Kita bukan Dewan Himpunan lagi, mereka (bukan Melayu) ahli terus dan mereka boleh mengundi dan ahli penuh berhak mengundi.
“Cuma mereka tidak menang lagi kali ini, lain kali pimpinan hebat muncul dan perwakilan akan memberi perhatian tentang pandangan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tadi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad juga mengakui bahawa agak sukar untuk mengikis budaya dan masih dibayangi dengan percakapan ala-Pas susulan penyertaannya dalam parti Islam itu agak lama.
“Saya sendiri dekat 40 tahun dalam parti itu, dari segi bahasa bila bercakap itu nak ubah bukannya senang.
“Bayangan itu ada, memang lah (susah nak kikis) kita sudah dilatih, sinonim, macam saya dengan Pas itu sudah sinonim sejak 1978 hingga 2015.
“Hampir 40 tahun dan bukan senang nak ubah naratif dan sebagainya,” katanya.
Beliau tidak menolak dengan imej Muafakat Nasional yang dibawa oleh Pas dan UMNO, ia menyukarkan Amanah untuk mengikis imej Pas di perdasa politik.
“Buat sementara ini kita nampak susah tapi kita ada masa, macam saya sebut tadi, penerangan kepada orang bawah tentang pelaksanaan manifesto belum lagi kita dapat dilakukan.
“Penerangan itu perlu turun ke bawah dengan sebaik mungkin dan ia perlu dipertingkatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette