Home Nasional Mitra luluskan permohonan sebelah pagi, batal sebelah petang – Kimma

Mitra luluskan permohonan sebelah pagi, batal sebelah petang – Kimma

Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader bercakap pada Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Janji manis, slogan serta laungan peruntukan geran sebanyak RM100 juta untuk Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) di bawah Pakatan Rakyat (PH) demi menjamin masa depan lebih baik daripada kerajaan terdahulu tidak lebih daripada retorik.

Malah peruntukan yang diberikan untuk pembangunan modal insan selain menambah baik sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita dan juga pembangunan kemahiran masyarakat India juga dilakukan dengan  ‘memilih bulu’.

Itu luahan hati oleh Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Datuk Seri Syed Ibrahim Kader hari ini apabila mendedahkan bagaimana beliau terpaksa menempuhi pengalaman seumpama itu dengan kerajaan PH yang seolah-olah mempolitikan peruntukan tersebut.

Dakwa beliau di hadapan lebih 900 perwakilan ketika Perhimpunan Agung Kimma yang ke-42 hari, MITRA bertindak membatalkan permohonan parti itu dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas mendapati mereka menyokong kerajaan terdahulu.

“Saya ingin berkongsi satu pengalaman saya sendiri bersama MITRA yang juga merupakan satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Saya telah dipanggil sendiri oleh pengurusan ini mengemukakan satu kertas kerja program pembangunan modal insan untuk masyarakat India Muslim.

“Kita dalam KIMMA yang sudah berjuang lebih 40 tahun khasnya untuk komuniti India Muslim di negara ini mempunyai rekod cukup baik bagi menjalan program-program seperti ini apatah lagi ianya seperti kehendak oleh kerajaan.

“Malah dengan kerajaan sebelum ini, di bawah SEDIC juga, KIMMA bukan sahaja telah mendapat peruntukan malah telah menjalankan pelbagai program bagi menaiktraraf India Muslim di negara.

“Tetapi apa yang terjadi kepada kami cukup pelik sekali, selepas menghantar kertas kerja bersama-sama apa yang perlu dilampirkan, permohonan peruntukan yang sebenarnya akan digunakan untuk masyarakat India telah mendapat kelulusan pada sebelah pagi.

“Selepas beberapa jam pada hari sama, sebelah petangnya saya mendapat panggilan telefon yang mengatakan permohonan itu terpaksa di tarik balik kerana KIMMA adalah sebahagian daripada UMNO.

“Persoalannya, mengapakah program masyarakat juga mahu dipolitikkan oleh mereka? Jika nasib kami begini, bagaimana pula yang berada di peringkat bawahan?

“Apakah peruntukan ini berdasarkan politik dan siapa yang mereka suka sahaja? Di bawah era Malaysia Baharu ini, terus terang saya katakan, nasib India Muslim seolah-olah bergantung tanpa tali,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Zahid Hamidi (tengah) diiringi Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (tiga kanan), Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa (tiga kiri) berdiri semasa menyanyikan lagu Negaraku pada Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2019

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk MITRA, P Waytha Moorthy mendedahkan pihaknya sudah hampir memanfaatkan sepenuhnya peruntukan sebanyak RM100 juta yang diberikan melalui Belanjawan 2019 kepada agensi berkaitan untuk pembangunan kaum berkenaan.

Kata Waytha, sehingga kini sebanyak RM99.3 juta peruntukan itu sudah dimanfaatkan bagi pelaksanaan program termasuk 205 program pembangunan sosio-ekonomi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri pernah menasihatkan masyarakat India supaya memanfaatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM100 juta menerusi MITRA dalam pembentangan Belanjawan 2019.

Syed Ibrahim yang bercakap kepada MalaysiaGazette turut meluahkan perasaan bagaimana keadaan begitu sukar dihadapi golongan ini di bawah kerajaan PH walaupun sebelum menang pilihan raya, begitu lain nadanya.

“Komuniti India Muslim langsung tidak di pandang oleh PH walaupun telah memerintah lebih 18 bulan. Suara kita tidak diendahkan langsung. Sekurang-kurangnya ketika BN masih memerintah kita masih ada ruang, kini ianya seolah-olah tertutup selama-lamanya.

“Para peniaga dalam pelbagai sektor mengalami permasalahan dengan agensi kerajani, kerenah birokrasi semakin menjadi-jadi dan langsung tidak dapat dibendung lagi.

“Contohnya kekurangan pekerja asing terutamanya di restoran-restoran mamak serta nasi kandar yang dimiliki oleh India Muslim, ini satu masalah cukup kritikal namun tiada siapa mhu mendengar.

“Kita juga terima pelbagai aduan berkaitan pendidikan dengan isu anak-anak India Muslim yang mendapat keputusan cemerlang namun gagal ditempatkan di IPTA. Jika dulu, KIMMA melalui pelbagai agensi kerajaan pastinya akan mendapat ‘jalan’ menyelesaikan isu ini kini tidak lagi.

“Kita tidak akan kompromi isu pendidikan, tidak akan sesekali berputus asa tetapi kerajaan kini yang dahulunya pembangkang begitu gah bercakap, meracun pemikiran kononnya boleh buat lebih baik daripada dulu, sekarang ‘habuk’ pun tiada,” katanya. –MalaysiaGazette

Sebahagian perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2019