Home Politik Kita ada 1,001 sejarah, kenapa pilih Si Kitol? Soal Azmin

Kita ada 1,001 sejarah, kenapa pilih Si Kitol? Soal Azmin

KUALA LUMPUR – “Saya tidak sentuh mana-mana peribadi pun sama ada secara langsung atau tak langsung,

“Saya tak sebut Si Kitol, si ketul atau si bedul. Kalau nak baca sejarah kita ada seribu satu sejarah, kenapa nak baca sejarah yang boleh memecahkan perpaduan parti?” Soal Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres Keadilan 2019, Azmin dalam nada begitu lantang dan bersemangat berkata, beliau yang diberi amanah untuk merasmikan Kongres Nasional Wanita PKR mematuhi persetujuan yang dicapai dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA: Kalau Azmin terasa, itu masalah dia – Anwar

Kepatuhannya itu, kata Azmin, telah membolehkan kongres sayap PKR itu berjalan dengan aman, harmoni dan baik.

“Kalau saya boleh tunjuk contoh teladan yang  baik, kalau kartel boleh tunjuk contoh teladan yang baik, saya bukan marah saya geram,” katanya sambil disambut dengan sorakan kartel, kartel berulang kali oleh para perwakilan.

Azmin sering digelar kartel oleh kumpulan yang menyokong Anwar malah salah seorang pembahas semalam turut menyentuh tentang kartel yang menurut beliau memberi gambaran tidak elok dalam parti seolah-olah menggambarkan jenayah pengedaran dadah.

BACA: Tukar istilah kartel ke tabligh cuit hati perwakilan AMK

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut meluahan rasa terharunya kerana selepas dihalau dan digelar pengkhianat masih ramai perwakilan yang hadir pada majlis makan malam itu malah ada seorang pemuda bertemu dengnnya dan menghadiahkan minyak wangi jenama Azmin.

Dalam ucapannya itu, Azmin turut mengingatkan para perwakilan supaya tidak terlalu obses atau taksub sehingga menutup mata menjadi buta dan menutup telinga sampai pekak.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana kualiti pembahas yang sangat teruk dan isu-isu yang dibahaskan langsung tidak menyentuh dasar kemakmuran bersama jauh sekali memperkatakan tentang ekonomi, perumahan mahu pun pendidikan.

“Semasa jumpa presiden, kami minta, Datuk Seri tolonglah pilih pembahas yang ada kualiti, yang membahaskan dasar, itu permintaan saya, takkan itu pengkhianat,” katanya.

Azmin juga kesal kerana dasar kemakmuran bersama yang mengambil masa setahun untuk dirangka demi kesejahteraan rakyat tidak dibahaskan semata-mata kerana ia melibatkan kementerian yang diterajuinya.

Anwar semalam berkata, beliau memetik sejarah Si Kitol dan Raja Mandeliar dalam ucapan dasarnya untuk mengingkatkan para perwakilan tentang sejarah runtuhnya kerajaan negeri Melaka. – MalaysiaGazette

TERKINI : PANAS!!! Kalau Azmin Terasa, Itu Masalah Dia – Anwar Ibrahim